PUTRAJAYA: Malaysia terus merekodkan pertambahan sembilan kluster Covid-19 baharu selepas semalam, mencatatkan tujuh kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan sembilan kluster itu menjadi keseluruhan kluster aktif sebanyak 231 kluster.
“Selain itu, 5,716 kluster yang telah tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,947 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 tetapi masih di bawah 5,000 kes iaitu 4,879 kes manakala semalam, 4,087 kes sekali gus diatasi 5,168 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 509 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 252 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 4,879 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 79 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya, 4,800 kes (98.4 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 61 kes berbanding kelmarin, 29 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 30,370 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), sebanyak 15 daripada 61 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 6,145 kes. – UTUSAN ONLINE