Langgar SOP: Pengurusan Terengganu FC, MFL dikompaun masing-masing RM10,000 - Utusan Malaysia

Langgar SOP: Pengurusan Terengganu FC, MFL dikompaun masing-masing RM10,000

SUASANA di Stadium Mizan Zainal Abidin. SERAMAI 20,000 penonton hadir pada menyaksikan aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu FC dan JDT di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus, Isnin lalu. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Gara-gara tidak memastikan pemakaian pelitup muka yang sempurna dan penjarakan fizikal penonton, pengurusan Terengganu FC Sdn. Bhd. dan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) masing-masing dikompaun RM10,000 hari ini.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Kasemani Embong berkata, tindakan itu diambil berikutan kegagalan penganjur memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong pada aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia antara Terengganu FC dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT), Isnin lalu. 

Katanya,  kompaun berkenaan dikeluarkan mengikut Peraturan 16 P.U(A) 293/2021, Peraturan-Peraturan Pencegahan & Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) (Pelan Pemulihan Negara) 2021. 

“Siasatan mendapati Terengganu FC selaku tuan rumah telah mengambil langkah-langkah seperti mengehadkan jumlah penonton, membenarkan hanya yang lengkap vaksinasi, menyediakan pasukan kawalan keselamatan di samping mewajibkan pemakaian pelitup muka. 

“Namun, kita dapati penganjur gagal memastikan pematuhan protokol am dalam pengurusan penonton dan penyokong di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di Kuala Nerus dari segi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup muka dengan sempurna,” katanya dalam kenyataan. 

Sehubungan itu, Kasemani menasihatkan orang ramai agar memainkan peranan dalam mengelak penularan jangkitan Covid-19. 

Katanya, Jabatan Kesihatan negeri akan sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya bagi memastikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dalam sebarang aktiviti yang melibatkan perkumpulan ramai. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya