IPOH: Seorang lelaki maut terperosok di bawah bas selepas motosikal yang ditunggangnya melanggar seekor anjing di Jalan Sultan Nazrin Shah, di sini pagi tadi.
Nahas pada pukul 6.30 pagi itu mengorbankan lelaki berusia 26 tahun yang disahkan maut di tempat kejadian.
Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Yahaya Hassan berkata, kejadian berlaku ketika mangsa yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC dalam perjalanan dari tempat kerja ke rumahnya.
Katanya, apabila tiba di tempat kejadian, motosikal mangsa melanggar seekor anjing yang sedang melintas jalan.
“Mangsa tercampak di tengah jalan sebelum sebuah bas dari arah sama gagal memberhentikan kenderaan dan mengelak lalu melanggarnya.
“Mangsa yang tersepit di bawah tayar kiri hadapan bas mengalami kecederaan parah dan disahkan maut di tempat kejadian oleh pihak hospital,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – UTUSAN ONLINE