PUTRAJAYA: Satu lagi lokaliti perkampungan estet di Pahang bakal dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) selama tempoh 14 hari bermula pada Sabtu ini.
Ketua Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN), Datuk Rodzi Md. Saad berkata, lokaliti tersebut ialah Ladang Sime Darby Bukit Puteri dalam Mukim Batu Yon 1 di Daerah Lipis.
Ia ujarnya, susulan hasil penilaian risiko dan trend jangkitan wabak Covid-19 oleh Kementerian Kesihatan dengan prosedur operasi standard yang sama seperti di lokaliti lain sebelum ini.
Berdasarkan laporan terkini daripada Jabatan Kesihatan Negeri Pahang, ladang berkenaan telah merekodkan sejumlah 11 kes positif dalam masa dua hari berturut-turut sejak kelmarin.
Ia bermula dengan sembilan individu didapati dijangkit kes tersebut pada 2 November dan kemudian dua lagi keesokan hari di lokaliti terletak 30 kilometer dari bandar Kuala Lipis itu.
Kawasan berkenaan yang seluas 3,911 hektar dengan penanaman pokok kelapa sawit sahaja meliputi 3,834 hektar manakala baki 77 hektar lagi merupakan penempatan penduduknya.
Lokaliti tersebut merupakan antara 208 ladang pertanian komersial yang diuruskan oleh gergasi komoditi ternama tempatan, Sime Darby Plantation Sdn. Bhd. di negara ini dan Indonesia.
Rodzi bagaimanapun memaklumkan bahawa tiada lokaliti sedia ada akan dilanjutkan PKPD selain tidak ada juga kawasan yang bakal ditamatkan sekatan secara bersasar itu pada esok.
Semalam, beliau mengumumkan Kampung Ruai Hulu dan Hilir yang terletak dalam Mukim Batu Talam di Daerah Raub, juga di negeri tersebut akan dilanjutkan lagi PKPD bermula esok.
Perkampungan dihuni lebih 500 orang dari kalangan etnik Semai ini telah lama dikenakan PKPD sejak 22 Oktober dan pernah dilaksanakan sekatan itu dari 22 Julai sehingga 2 Ogos lalu.
Lokaliti yang terletak lebih 30 kilometer dari bandar Raub ini juga didiami hampir 70 peratus penduduknya beragama Islam hasil daripada aktiviti dakwah oleh pelbagai organisasi tempatan.
Sementara itu tambah Rodzi, kawasan Program Pembangunan Bersepadu Desa Terpencil (Prosdet) Kampung Pantos dalam Mukim Ulu Jelai, Daerah Lipis pula ditamatkan PKPD hari ini.
PKPD mula dikuatkuasakan di lokaliti yang didiami lebih 300 keluarga etnik Semai beragama Islam itu pada 8 Oktober lalu susulan kluster komuniti Pantos diisytiharkan sehari sebelumnya.
Ia disambung lagi mulai 21 Oktober lalu apabila berlaku lonjakan penularan di perkampungan berkeluasan 116 hektar itu yang dirancang sebagai estet kelapa sawit sejak 1998 lepas.
Kampung ini dibangunkan ala skim tanah Felda oleh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda), sebuah agensi Kementerian Pembangunan Luar Bandar. – UTUSAN ONLINE