PETALING JAYA : Hasrat Terengganu FC (TFC) untuk mencipta kemenangan keenam dalam saingan Kumpulan B Piala Malaysia 2021 tidak kesampaian apabila sekadar seri 1-1 menentang Kuching City di Stadium Negeri, Sarawak sebentar tadi.
Meskipun sekadar meraih satu mata namun skuad Penyu masih melangkah ke suku akhir sebagai juara kumpulan.
Pada perlawanan tersebut, skuad kendalian Nafuzi Zain membuka tirai jaringan menerusi pemain tengah, Mohammad Rahmat Makasuf selepas percubaan deras yang dilakukan gagal diselamatkan penjaga gol, Wan Azraie Wan Teh pada minit ke-19.
Kapten Terengganu, Makan Konate hampir meletakkan pasukannya mendahului 2-0 pada minit ke-21 namun percubaannya sekadar mengegar tiang.
Bersambung babak kedua, pasukan tuan rumah hanya memerlukan satu minit untuk menyamakan kedudukan menerusi percubaan Yuta Suzuki dari luar kotak penalti.
Gol penyamaan itu nyata membangkitkan semangat pemain-pemain Kuching City apabila mereka meningkatkan tempo permainan serta melakukan beberapa percubaan berbahaya.
Rahmat hampir menjaringkan gol keduanya pada perlawanan tersebut pada minit ke-62 tetapi percubaan sekadar singgah di tiang biarpun Wan Azraie telah tertewas.
Usaha kedua-dua pasukan untuk menambah gol tidak kesampaian sekali gus menyaksikan kedudukan 1-1 kekal sehingga tamat perlawanan.