KTMB bakal perkenal tren khas basikal - Utusan Malaysia

KTMB bakal perkenal tren khas basikal

BANYAK negara Eropah memperkenalkan gerabak khas untuk penunggang basikal dalam mempromosikan gaya hidup sihat dan bebas pencemaran udara. – Foto media sosial
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

 PUTRAJAYA: Selepas enam tahun Program Ride n Ride dilancarkan, Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) bakal memperkenalkan tren khas koc basikal sahaja dalam masa terdekat sebagai menyokong agenda nasional Malaysia Sihat yang dilaksanakan kerajaan ketika ini.

Menurut kenyataan KTMB, tren khusus ini juga selaras dalam usaha bagi meningkatkan taraf kesihatan rakyat Malaysia terutama para peminat aktiviti berbasikal.

Sehubungan itu, operator pengangkutan rel awam tersebut menjalankan kaji selidik selama tiga hari bermula semalam untuk mendapatkan maklum balas berhubung cadangan kadar tambang, waktu dan tempoh perjalanan sebelum perkhidmatan tren khas itu beroperasi.

KTMB memberi bayangan bahawa ia merupakan seumpama perkhidmatan tren sewa khas yang membolehkan pelanggan membawa basikal mereka dan melibatkan 11 destinasi pilihan meliputi perjalanan ulang-alik dari stesen utama Kuala Lumpur terus menuju ke Tampin dan Seremban di Negeri Sembilan serta Tanjung Malim dan Batu Gajah di Perak.

 Juga dari Kuala Lumpur ke tiga destinasi di Selangor iaitu Klang, Batang Kali dan Kuala Kubu Bharu dengan bayaran dicadangkan bergantung daripada serendah RM15 sehingga RM85, manakala bagi wilayah Utara Semenanjung, cadangan itu melibatkan Ipoh, Perak ke Kuala Lumpur dan Batang Kali serta Butterworth, Pulau Pinang ke Gurun, Kedah dan Padang Besar, Perlis.

 “Tren ini bagaimanapun dicadangkan cuma beroperasi pada hujung minggu iaitu Sabtu dan Ahad serta hari cuti umum dengan berkonsepkan bebas dan santai dengan pilihan waktu berlepas sama ada pukul 5 pagi, 6 pagi atau 7 pagi serta waktu balik antara 3 petang, 4 petang, 5 petang dan selepas 6 petang,” jelas  KTMB menerusi hantaran Facebook.

Operasi tren khas ini berbeza daripada konsep Ride n Ride yang dilancarkan KTMB sejak 2016 apabila pengguna berbasikal terpaksa berkongsi gerabak sama dengan penumpang biasa, malah hanya diberikan pilihan untuk menaiki koc A dan F iaitu gerabak pertama dan terakhir atau mana-mana koc yang didapati kurang sesak penumpang di luar waktu puncak.

Bagaimanapun difahamkan kelonggaran itu pernah disalahgunakan apabila ada menunggang di platform stesen dan dalam gerabak sehingga membahayakan pengguna tren yang lain, justeru tren khas tersebut dijangka mampu mendisiplinkan peminat berbasikal kerana ia tidak mengganggu penumpang normal berdasarkan kaedah sama dilaksanakan di negara maju.

Kemudahan sebegini sudah lama dipraktikkan di Barat, malah Persekutuan Berbasikal Eropah melaporkan ada peningkatan ketara jumlah penumpang dengan pengangkutan roda dua ini sejajar matlamat bebas pencemaran asap kenderaan dan mendorong Parlimen Eropah mencadangan setiap koc tren baharu perlu ada lapan ruang untuk basikal.

Langkah positif ini bagi menggalakkan gaya hidup sihat dan mempromosikan pengangkutan awam rel sebagai alternatif pergerakan lebih pantas serta selamat daripada isu kemalangan.-UTUSAN ONLINE 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya