SHAH ALAM: Tindakan sebuah kedai makan tidak mempamerkan tanda harga makanan di Sepang mengundang padah apabila dikenakan kompaun oleh pihak berkuasa dalam Operasi (Op) Menu.
Perkara itu dikesan pasukan penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Selangor yang menjalankan operasi berkenaan sehingga hari ini.
Pengarah KPDNHEP negeri, Muhamad Zikril Azan Abdullah berkata, pihaknya bersama enam cawangan negeri mempergiatkan pemeriksaan dan penguatkuasaan ke atas restoran serta kedai makan di seluruh Selangor.
Katanya, sebanyak 28 premis sudah diperiksa pihaknya dalam Op Menu berkenaan setakat ini.
“Hasil pemantauan mendapati pematuhan peniaga berada pada tahap baik kerana hanya satu kes dikesan tidak mempamerkan tanda harga di Sepang.
“Peniaga kedai makan itu dikenakan kompaun mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Muhamad Zikril, pihaknya memfokuskan semua premis menyedia makanan siap masak sama ada restoran Melayu, Cina, India, medan selera dan restoran makanan laut.
“Kita komited mahu memastikan pematuhan penandaan harga dan alat timbang yang sah bagi mengelak manipulasi atau penipuan oleh peniaga.
“Justeru, semua pengusaha premis perlu mematuhi peraturan ditetapkan sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan termasuk didakwa di mahkamah atau dikompaun,” katanya.
Tambah beliau, tindakan tegas boleh dikenakan ke atas peniaga yang gagal mematuhi Perintah Kawalan Harga dan Antipencatutan (Penandaan Harga Bagi Barangan Dan Caj Bagi Perkhidmatan) 2020.
“Jika sabit kesalahan, ia memperuntukkan denda tidak lebih antara RM50,000 atau RM100,000
“Bagi kesalahan di bawah Akta Timbang dan Sukat (ATS) 1972, peniaga boleh didenda tidak lebih RM40,000 atau penjara lebih tiga tahun,” katanya.
Sehubungan itu, pengguna dinasihatkan supaya lebih berwaspada dan bijak membuat pilihan dalam berbelanja dengan memilih restoran atau kedai makan yang beretika.
Orang ramai yang mempunyai aduan mengenai Op Menu boleh menghantar pesanan WhatsApp ke 019-2794317 atau menghubungi 1800-886-800/ 03-88826245 @ 6088 dan melayari Portal [email protected] atau kiriman Emel [email protected].