Konvokesyen UTeM Ke-16 rai 2,979 graduan - Utusan Malaysia

Konvokesyen UTeM Ke-16 rai 2,979 graduan

GHAZALI Omar bercakap kepada pemberita dalam sidang akhbar pemakluman Konvokesyen UTeM Ke-16 di Kampus Induk UTeM di Durian Tunggal, Melaka.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Seramai 2,979 graduan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) akan diraikan dalam Majlis Konvokesyen UTeM Ke-16 yang diadakan pada 9 hingga 12 Disember ini.

Timbalan Naib Canselor (TNC) Penyelidikan dan Inovasi yang menjalankan fungsi Naib Canselor, Prof. Ir. Dr. Ghazali Omar berkata, majlis berlangsung secara fizikal dan dilaksanakan dalam lapan sesi.

Menurut beliau, konvokesyen diadakan dalam suasana norma baharu dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Majlis diadakan selama empat hari dengan lapan sesi berbanding dua hari dan empat sesi sebelum ini. Perubahan ini dibuat bagi memastikan tiada kesesakan di dalam dewan.

“Kapasiti dewan dihadkan kepada 1,700 orang meskipun ia dapat menampung sehingga 4,000 orang. Setiap graduan dibenarkan membawa dua orang ahli keluarga sahaja sama ibu bapa atau penjaga.

“Bagi keluarga yang datang melebihi kapasiti dibenarkan, mereka akan ditempatkan di khemah yang disediakan. 

“Selain itu, semua yang menghadiri konvokesyen ini perlu lengkap dua dos vaksin dan melepasi tempoh matang,” katanya dalam sidang akhbar pemakluman Konvokesyen Ke-16 UTeM di Kampus Induk di sini hari ini.

Hadir sama TNC (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Zulkifilie Ibrahim dan TNC (Hal Ehwal Pelajar), Datuk Dr. Sabri Mohamad Sharif.

UTeM telah melahirkan 32,390 graduan antara 2005 hingga 2020.

Tambah Ghazali, Pesta Konvo UTeM dijenamakan semula sebagai Tuah Virtual Convo Fest 2021 (TUAH VCF ’21) yang akan diadakan secara dalam talian.

Katanya, UTeM menjalin kerjasama dengan pelbagai penaja sama ada di peringkat negeri atau nasional bagi menjayakan Tuah VCF ’21 kali ini.

“Antara agensi yang terlibat ialah Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC), Pusat Inovasi dan Kreativiti Global Malaysia (MaGIC), Jabatan Mufti Negeri Melaka, Yayasan Waqaf Malaysia dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM).

“Pelbagai aktiviti menarik dijalankan seperti akademik dan kerjaya, etika dan kerohanian, sukan dan rekreasi serta kebudayaan dan identiti nasional,” ujarnya.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya