ALOR SETAR: Seorang kontraktor mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas dua pertuduhan menjual Darjah Kebesaran Setia Diraja Kedah (DSDK) yang tidak diiktiraf pada 2017.
Tertuduh, Nik Hasyidat Nik Daut, 44, membuat pengakuan itu sebaik sahaja pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Hakim Sharifah Norazlita Syed Salim Idid.
Mengikut kertas pertuduhan, tertuduh didakwa menerima suapan RM1,000 melalui akaun bank yang dimasukkan penama, Ahmad Nazri Ibrahim, 57, sebagai dorongan mendapatkan pemberian anugerah yang tidak diiktiraf di Bank Cimb, Jalan Tunku Ibrahim di sini kira-kira pukul 3.37 petang pada 15 Jun 2020.
Lelaki itu juga didakwa menerima satu lagi suapan RM5,000 melalui akaun bank milik penama sama bagi mendapatkan pemberian anugerah tidak diiktiraf di lokasi sama kira-kira pukul 1.39 petang, 27 Julai 2020.
Pendakwaan bagi setiap pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 13(2) Akta Kesalahan yang Berhubungan dengan Anugerah 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun.
Pendakwaan kes dikendalikan Pengarah Pendakwaan Negeri, Khairul Azreem Mamat dan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Nurul Suhaila Baharin manakala tertuduh diwakili peguam, Nazri Awang.
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 bagi setiap pertuduhan dengan seorang penjamin tempatan serta perlu melaporkan diri di balai polis setiap bulan pada 1 haribulan bagi setiap pertuduhan.
Tertuduh kemudian membayar jaminan di Kompleks Mahkamah Alor Setar dan kes disebut semula pada 16 Disember depan.
Sementara itu Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, satu aduan diterima dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah berkaitan beberapa individu disyaki menggunakan DSDK sebelum mendapat kurniaan daripada Sultan Kedah pada 5 Oktober lalu.
“Seramai 19 individu warga negara tempatan berumur 30 hingga 63 tahun berjaya ditahan hasil operasi yang dijalankan Jabatan Siasatan Jenayah Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah di sekitar negeri ini dan beberapa negeri lain.
“Turut dirampas aksesori dan dokumen serta peralatan berkaitan dan kad keahlian Jemaah Datuk Negeri Kedah palsu, jata negeri dan beberapa item berkaitan dengan darjah kebesaran tersebut,” katanya.
Kata beliau, sindiket itu dipercayai aktif sejak 2015 dengan taktik mendekati individu daripada golongan elit dan ahli perniagaan serta menawarkan gelaran darjah kebesaran negeri dengan sejumlah bayaran sekitar RM25,000 hingga RM103,000.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 13 Akta Kesalahan Yang Berhubung Dengan Anugerah 2017 (Akta 787) dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588),” jelasnya.