PUTRAJAYA: Komuniti dan tempat kerja masing-masing mencatatkan jumlah terbanyak iaitu tiga daripada tujuh kluster Covid-19 hari ini, diikuti satu pendidikan tinggi.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, jumlah kluster itu menunjukkan pertambahan berbanding semalam hanya tiga kluster yang melibatkan tempat kerja.
Katanya, tiga kluster komuniti melibatkan Tumpat, Kelantan serta Mersing, Johor dan Ranau, Sabah.
“Kluster tempat kerja yang turut merekodkan tiga kluster pula, Timur Laut, Pulau Pinang serta Kluang, Johor dan Alor Gajah, Melaka, manakala satu kluster pendidikan tinggi di Jasin, Melaka.
“Jumlah terbabit menjadikan keseluruhan kluster aktif sebanyak 325 kluster manakala 5,481 kluster telah tamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan sedikit penurunan kes positif Covid-19 iaitu 4,343 kes berbanding semalam, 4,701 kes sekali gus di atasi 5,190 kes sembuh.
Selain itu katanya, sebanyak 554 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 272 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 4,343 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 68 kes (1.6 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima.
“Bakinya, 4,275 kes (98.4 peratus) adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan peningkatan sedikit jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 54 kes berbanding kelmarin, 47 kes.
Rekod terbabit adalah setakat pukul 7 petang, hari ini berdasarkan maklumat dikemas kini melalui laman web, https://covidnow.moh.gov.my menjadikan keseluruhan kes terkini sebanyak 29,256 kes.
Bagi kes kematian yang dibawa ke hospital (BID), ia merekodkan sebanyak 12 daripada 54 kes dengan jumlah keseluruhan sebanyak 5,919 kes.