PETALING JAYA : Pengendali Penang FC, Tomas Trucha menyerahkan masa depan kepada pihak pengurusan kelab untuk menentukan kedudukannya bersama skuad Harimau Kumbang.
Masa depan Trucha yang mendapat julukan ‘Jurgen Klopp’ menjadi tanda tanya selepas prestasi buruk Penang dalam saingan Piala Malaysia musim ini, walaupun membimbing pasukan itu menamatkan saingan Liga Super di tangga ketiga.
Pengendali berusia 50 tahun itu bagaimanapun menegaskan bahawa dia masih memiliki kontrak bersama pasukan itu dan bekerja keras membentuk pasukan bagi mengharungi musim depan.
“Ia terpulang kepada pengurusan untuk memaklumkan bagaimana situasi sebenar. Saya masih memiliki kontrak dengan kelab dan saya bekerja keras untuk membentuk pasukan bagi musim depan,” katanya selepas aksi berdepan KL City.
Kekalahan 0-1 di tangan KL City di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur menjadi kekalahan keempat Penang dalam Piala Malaysia musim ini dan meletakkan mereka di kedudukan terbawah Kumpulan A selepas hanya mengumpul satu mata daripada lima perlawanan.
Mengulas mengenai prestasi pasukannya, Trucha mengakui masalah kecederaan yang membelenggu pemain utama menjadi antara punca mereka berdepan kesukaran meneruskan persembahan cemerlang seperti di Liga Super.
“Kami hilang tujuh pemain, mungkin orang tak memahami. Sama seperti saya katakan sebelum Piala Malaysia, kami bekerja keras dalam liga, beberapa pemain berdepan kecederaan dan sejujurnya mereka belum pulih sepenuhnya.
“Jadi kami cuba bertahan, bekerja keras dengan apa yang kami ada dan saya gembira dengan apa yang mereka lakukan hari ini,” katanya.