LONDON: Jurgen Klopp menyalahkan pengadil perlawanan, Craig Pawson selepas Liverpool menerima kekalahan pertama musim ini apabila tewas 2-3 kepada West Ham dalam saingan Liga Perdana Inggeris, semalam.
Pengendali dari Jerman itu percaya, gol pembukaan menerusi sepakan sudut pemain tengah West Ham, Pablo Fornals sepatutnya dibatalkan kerana mendakwa pertahanan, Angelo Ogbonna menghalang penjaga golnya Alisson.
“Saya fikir ia adalah satu kesalahan yang jelas sambil melihat tangan Ogbonna cuba menghalang Alisson. Pengadil membuat keputusan mudah bagi dirinya dan berkata ‘itu apa yang VAR katakan’.
“’Mereka (pengadil) berkata tidak begitu jelas. Saya tidak tahu mengapa dan ia benar-benar pelik. Itu bukan ‘man marking’, dia jelas menghalang penjaga gol.
“Orang akan berkata saya mencari alasan…tidak. Saya menerimanya jika aksi Liverpool hari ini tidak terlalu bagus.
“Tetapi apabila bercakap tentang situasi dalam permainan, kami hanya memerlukan keputusan yang biasa pengadil buat dan dia tidak berbuat demikian,” katanya.
Kejayaan meleburkan rekod 25 perlawanan tanpa kalah Liverpool di Stadium London itu membolehkan West Ham menaiki tangga ketiga Liga Perdana.
Klopp berkata, Pawson juga melakukan kesilapan kerana tidak mengeluarkan Aaron Cresswell kerana terjahan berbahaya ke atas Jordan Henderson pada minit ketujuh perlawanan.- AGENSI