LONDON : Jurgen Klopp menjelaskan pertelingkahannya dengan Mikel Arteta tercetus disebabkan pengendali Arsenal itu dan staff kejurulatihannya cuba untuk membuat Sadio Mane dibuang padang.
Arteta dan stafnya kelihatan berang kerana beranggapan Mane dengan sengaja menyiku pertahanan Arsenal Takehiro Tomiyasu.
Klopp bertindak balas dan berlaku perbalahan lisan sebelum ia dileraikan pengadil, Michael Oliver, yang melayangkan kad kuning buat kedua-dua pengurus berkenaan.
“Ia mengenai situasi di mana tiada kekasaran buat Mane tetapi mereka di bangku Arsenal bangkit seperti ia sepatutnya kad merah. Saya bertanya apa yang mereka mahu daripada situasi itu?
“Kami mungkin tidak dapat menurunkan Mane menentang Atletico (Madrid dalam Liga Juara-Juara) kerana mereka mahu dia dilayangkan kad kuning.
“Pengadil melakukan tugasnya dengan amat baik dalam situasi ini. Saya layak mendapat kad kuning. Ia bukan sesuatu yang OK tetapi itulah yang saya katakan dan berlaku pada momen itu,” jelas Klopp.
Aksi di Anfield itu menyaksikan Liverpool membelasah Arsenal 4-0 menerusi jaringan Mane, Diogo Jota, Mohamed Salah dan Takumi Minamino untuk Reds melonjak ke tangga kedua Liga Perdana Inggeris (EPL).
Dalam pada itu, Arteta mengakui tindakan yang dilakukannya hanyalah untuk mempertahankan pasukannya.
“Dia mempertahankan pasukannya, saya mempertahankan pasukan saya, itu sahaja. Ia tiada masalah, perkara itu hanya di dalam padang,” ujarnya. – AGENSI