KUALA LUMPUR: Taktikal Bojan Hodak untuk tidak membenarkan gol awal diperolehi Johor Darul Ta’zim ( JDT) nyata membuahkan hasil apabila Kuala Lumpur City (KL City) berjaya melakar kemenangan 2-0 dalam aksi final Piala Malaysia di Stadium Nasional Bukit Jalil, sebentar tadi.
Kemenangan itu juga cukup bermakna buat skuad The City Boys yang menamatkan penantian selama 32 tahun untuk mendakap kembali piala berprestij berkenaan dan lebih manis ia dilakukan pada ulang tahun ke-100 Piala Malaysia, selain meraih tiket ke Piala AFC musim depan.
Kali terakhir Kuala Lumpur menjulang trofi tertua itu adalah pada tahun 1989 yang menyaksikan mereka melakar rekod hatrik selepas muncul juara pada 1987 dan 1988.
Kekalahan itu nyata menyentap ego juara bertahan itu yang menjadi pilihan rata-rata pemerhati dan peminat bola sepak tempatan untuk memenangi piala berkenaan.
Turun sebagai pasukan pilihan, skuad Harimau Selatan hampir membuka tirai jaringan seawal minit kelapan namun percubaan kencang penyerang import dari Brazil Bergson da Silva daripada luar kotak penalti sekadar menggegar tiang gol sebelah kanan yang dikawal penjaga gol KL City Kevin Mendoza.
Dua minit kemudian, penyokong JDT sedikit cemas apabila kesilapan penjaga gol Farizal Marlias gagal membuat hantaran dengan baik kepada S.Kunalan yang menyaksikan bola berjaya ditampan pemain sayap kiri KL City Zhafri Yahya pada minit ke-10 namun bernasib baik apabila bola tidak menuju tepat ke gawang gol.
Selepas 15 minit sekadar bertahan, anak buah Hodak akhirnya mula menemui rentak permainan untuk memegang bola lebih lama tetapi masih belum mampu memberi ancaman kepada kubu JDT.
Ketangkasan Mendoza juga menjadi kunci utama skuad The City Boys kental bertahan sehingga berakhirnya babak pertama tanpa jaringan.
Bersambung babak kedua, KL City mula meningkat tempo permainan apabila mengasak kubu JDT serta mencipta beberapa peluang sekali gus membuat Farizal terpaksa bekerja lebih keras.
Usaha Raja Lembah Klang memburu gol pembukaan akhir terhasil menerusi tampanan mudah Zhafri pada minit ke-66 yang menerima hantaran lintang menarik pemain sayap kiri J. Partiban sekali gus menggamatkan stadium dengan sorakan penyokong The City Boys.
Tersentak dengan jaringan itu, skuad Harimau Selatan kembali memperkemaskan gerakan untuk memburu gol penyamaan namun benteng pertahanan KL City kental bertahan.
Sebaliknya, anak buah Bojan Hodak menggandakan kedudukan, kali ini menerusi sentuhan penyudah kapten KL City Poulo Josue yang menerima umpanan cantik Ryan Lambert pada minit ke-74 sekali gus menambah tekanan buat pemain JDT.
Selain bergelar juara, KL City juga mengekalkan rekod tanpa kalah sepanjang mengharungi kempen Piala Malaysia musim ini.