Kit ujian kendiri dilengkapi kod bar untuk rekod telus - Utusan Malaysia

Kit ujian kendiri dilengkapi kod bar untuk rekod telus

NOOR Hisham Abdullah berucap pada sidang akhbar khas di Kementerian Kesihatan, Putrajaya hari ini. – KEMENTERIAN KESIHATAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kit ujian kendiri bagi pengesanan awal kes Covid-19 kemungkinan besar akan dilengkapi sistem kod bar untuk merekodkan keberadaan alat tersebut secara lebih telus.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ketika ini lebih lima juta kit berkenaan dijual di seluruh negara namun ramai tidak melaporkan keputusan ujian.

“Memang banyak orang beli di farmasi tetapi pelaporan melalui aplikasi MySejahtera amat rendah, mungkin ada simpan dan lebih ditakuti ada tidak kemas kini keputusan,” katanya dalam sidang akhbar hari ini.

Justeru, beliau membayangkan teknologi kod bar yang unik akan dipasang di setiap kit itu agar Kementerian Kesihatan dapat merekodkan pergerakan alat tersebut setelah dibeli.

Sambil mengakui kebarangkalian ada individu menipu dengan memberi maklumat salah dalam MySejahtera kerana tidak mahu dikuarantin, beliau berharap masyarakat lebih bersikap jujur.

Ketika ini sudah ada sejumlah 70 jenis kit berkenaan dalam pelbagai jenama untuk ujian pantas antigen dengan harga runcit RM19 seunit manakala borong pula ditetapkan RM16.

“Buat masa ini, ujian saringan dilaksanakan termasuk ke atas kontak rapat dan bergejala masih tinggi dengan sebahagian besar adalah keputusan negatif berbanding positif,” katanya.

Menjelaskan sama ada kementerian itu berhasrat membuka laluan secara jumpa terus atau walk-in untuk penerima dos penggalak, Noor Hisham berkata, isu tersebut sedang diteliti.

Ia susulan aduan ada tidak menyedari mereka perlu mendapatkan dos berkenaan dan apabila cuba pergi ke pusat pemberian vaksin pula didapati tidak boleh menerima imunisasi tersebut.

Keadaan tersebut menyaksikan sehingga semalam, kadar penerima vaksin penggalak adalah agak rendah dengan hanya 825,497 dos berkenaan telah pun diberikan di seluruh negara.

Keutamaan dos itu pada masa ini melibatkan kelompok individu berusia 18 tahun ke atas dengan komorbiditi, ibu mengandung dan petugas barisan hadapan selain petugas kesihatan.

“Setakat ini, kita bercadang beri keutamaan untuk buka semula laluan walk-in bagi individu belum lagi dapat langsung sebarang dos pertama atau terlepas janji temu vaksinasi,” katanya.

Sementara bagi isu dos penggalak pula ujar Noor Hisham, pendekatan ketika ini lebih kepada kesedaran dan akan segera dihubungi balik jika ada isu terlupa tarikh yang telah ditetapkan.

Pada waktu ini jelasnya, cuma vaksin jenama Comirnaty keluaran firma Pfizer BioNTech diberi selepas sela masa enam bulan dos kedua termasuk penerima AztraZeneca dan Sinovac.

Sementara jenama yang lain pula kata beliau, masih lagi dalam semakan oleh Agensi Regulatori Farmaseutikal Nasional dan akan bermesyuarat sekali lagi pada 17 November depan.

Pelaksanaan vaksin penggalak jelas beliau, turut selari dengan saranan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk perlindungan ke atas golongan rentan dan terbukti hasil kajian saintifik.

“Kita boleh lihat data di beberapa negara Eropah yang ada lonjakan kes, tetapi berjaya dikawal dengan baik manakala yang dijangkiti pula ialah individu belum divaksin,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya