Kit Siang cadang tarikh 30 Disember hari memperingati korban Covid-19 - Utusan Malaysia

Kit Siang cadang tarikh 30 Disember hari memperingati korban Covid-19

LIM KIT SIANG
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Kerajaan dicadang menyediakan pusat jagaan anak-anak yang kehilangan ibu bapa akibat jangkitan Covid-19 untuk memberi pendidikan kepada mereka bermula di peringkat sekolah rendah hingga universiti.

Ahli Parlimen Iskandar Puteri daripada DAP, Lim Kit Siang berkata, ia antara lain berperanan menjaga keperluan dan kebajikan mereka kerana terdapat lebih kurang 5,000 kanak-kanak menjadi yatim piatu disebabkan wabak berkenaan.

Beliau juga mencadangkan supaya kerajaan menetapkan tarikh 30 Disember sebagai Hari Memorial Kebangsaan bagi memperingati lebih daripada 30,000 mangsa yang terkorban di negara ini.

“Bolehkah Kabinet memutuskan kedua-dua perkara ini dalam mesyuarat Kabinet yang akan datang?

“Ini adalah antara usaha yang sekurang-kurangnya boleh dilakukan oleh kerajaan untuk membela nasib 5,000 kanak-kanak berkenaan yang sekelip mata menjadi yatim piatu akibat penularan Covid-19.

“Kerajaan harus bertanggungjawab terhadap kebajikan mereka kerana mereka kehilangan ibu bapa akibat daripada kegagalan kerajaan untuk menurunkan angka kematian akibat Covid-19 ke paras yang serendah mungkin,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Mengulas mengenai peningkatan kes kematian akibat Covid-19, kata Penasihat DAP itu, 13 bulan adalah masa yang diambil oleh negara untuk merekodkan 1,000 kematian pertama pada 17 Februari 2021, namun, jumlah keseluruhan kes kematian meningkat dari 28,000 kepada 29,000 hanya dalam tempoh dua minggu.

Katanya, jangkaan terburuknya terbukti benar iaitu 100 hari pertama Khairy Jamaluddin dilantik sebagai Menteri Kesihatan, beliau akan menyaksikan jumlah keseluruhan kes kematian akibat Covid-19 di negara ini menjangkaui paras 30,000 pada 7 Disember ini.

“Adakah wabak Covid-19 akan meragut lebih banyak nyawa berbanding wabak Selsema Sepanyol yang berlaku pada 1918 yang membunuh 34,644 orang di Malaysia?

“Malaysia mempunyai jumlah kematian per sejuta penduduk tertinggi di rantau ASEAN dan Asia Timur dengan 876 kematian per sejuta penduduk iaitu sebuah rekod yang mencerminkan kemampuan kerajaan yang teruk selain sistem kesihatan awam yang lemah,” katanya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya