SHAH ALAM: Kegiatan satu sindiket menjadikan sebuah rumah kedai di Bukit Puchong sebagai makmal mini memproses dadah di sini, tumpas dengan penahanan 10 lelaki dan rampasan dadah berjumlah RM8.09 juta pada 22 November lalu.
Turut dirampas dan disita pelbagai aset termasuk 19 kenderaan seperti kenderaan pelbagai guna (MPV), empat motosikal dan dua lori penunda serta barang kemas, wang tunai, saham dan akaun bank berjumlah RM2.04 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN), Datuk Razarudin Husain berkata, suspek yang ditahan berusia antara 22 hingga 42 tahun itu ditahan bersama rampasan dadah di enam lokasi sekitar Selayang dan Gombak antara pukul 12.10 tengah hari hingga 4.30 petang.
Katanya, turut ditahan ialah ‘kingpin’ (ketua) yang bertindak selaku penaja sindiket itu dan turut terlibat dalam kegiatan ah long.
“JSJN Bukit Aman dengan kerjasama JSJN Selangor menahan 10 suspek yang dipercayai terlibat dengan aktiviti pemprosesan dan pengedaran dadah jenis heroin dan pil ekstasi di sekitar Lembah Klang.
“Hasil serbuan, JSJN merampas 19.7 kilogram (kg) dadah heroin base, heroin (43.1 kg), pil ekstasi (3.2kg) dan serbuk dadah Methylene Dioxy Meth Amphetamine (MDMA) (110kg),” katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Selangor di sini hari ini.
Yang hadir sama Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed dan Ketua JSJN Selangor, Asisten Komisioner Ahmad Jefferi Abdullah. – UTUSAN ONLINE