Keunikan Verandah Kampung Story jadi tarikan - Utusan Malaysia

Keunikan Verandah Kampung Story jadi tarikan

KEINDAHAN kedai makan Verandah Kampung Story yang diusahakan sebuah keluarga ekoran terjejas pendapatan akibat PKP di Kampung Seri Bunian, Pontian, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PONTIAN: Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini telah mencetuskan idea kepada sebuah keluarga di Kampung Seri Bunian, di sini untuk membuka kedai makan yang dinamakan Verandah Kampung Story.

Menggunakan nama verandah atau anjung telah berjaya menarik kehadiran ramai pengunjung yang ingin mengetahui dengan lebih dekat terutama kepelbagaian jenis minuman yang menggunakan nama ala-ala kafe hipster.

Menurut Shamsiah Samsudin, 56, dia bersama anaknya, Nurul Fatiha Rosli, 28, cuba memperkenal nama-nama minuman tersebut yang diharap mampu menjadi daya penarik pelanggan untuk singgah ke Verandah Kampung Story.

“Saya sebelum ini menjalankan perniagaan menjual kuih muih selama 25 tahun dengan kemahiran membuat kuih seperti kuih lapis, talam suji, koleh kacang, kuih lapis kacang dan pelbagai lagi.

“Namun disebabkan PKP, tempahan yang diterima berkurangan kerana ketiadaan majlis-majlis keramaian seperti kenduri kendara, majlis perkahwinan dan sebagainya,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di Kampung Seri Bunian semalam.

Tambah Shamsiah, suaminya, Rosli Selamat, 56, yang sebelum ini menjadi penyelia di sebuah industri juga telah direhatkan sementara oleh majikannya yang menyebabkan dia tiada sebarang pekerjaan.

“Disebabkan faktor kehilangan sumber pendapatan tersebut, kami sekeluarga mengambil keputusan untuk membuka perniagaan ini dengan menjual makanan yang mempunyai daya tarikan sendiri kepada para pelanggan.

“Dengan kedudukan kedai di jalan utama Kampung Seri Bunian, Verandah Kampung Story mudah untuk dikunjungi sama ada dari bandar Pontian atau Pekan Nanas serta Kukup,” ujarnya.

Shamsiah berkata, sebanyak RM5,000 telah dibelanjakan bagi membina anjung selain membeli peralatan seperti kerusi, meja disamping kelengkapan dapur termasuk pinggan mangkuk dan sebagainya.

Menurutnya, dia bersyukur sambutan yang diberikan orang ramai hasil usaha pemasaran melalui media sosial yang ternyata menarik ramai pengunjung pada setiap hari termasuk dari luar daerah.

Selain kepelbagaian air seperti Biscoff, Dark Choc, Strawberry Smoothed dan Caramel Green Tea di bawah kategori frappe, kedai mereka turut menawarkan nasi lemak berlauk seperti rendang kerang, rendang ayam, rendang daging, paru sambal, sambal kupang, telur sambal dan ayam masak merah.

Malah, makanan ringan seperti menu kacang pool, roti bakar dan pelbagai lagi menjadikan  Verandah Kampung Story yang turut menjadi tumpuan penduduk lengkap dengan pelbagai jenis sajian. -UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN