BAGI mereka yang pernah menonton filem animasi popular Disney berjudul Frozen, sama ada yang pertama atau kedua, anda tentunya sangat mengenali watak orang salji bernama Olaf.
Menerusi karakter yang diwujudkan, menemani dan mencantikkan lagi perjalanan kisah Puteri Elsa dan Puteri Anna dalam filem Frozen, Olaf meskipun dilihat cuma watak sampingan, namun memiliki pengaruh tersendiri yang cukup kuat di kalangan peminat naskah animasi tersebut.
Dipaparkan sebagai sebuah orang salji yang boleh berkata-kata dek percikan magis daripada Elsa, Olaf memiliki karakter yang sangat periang, peramah dan gemar berceloteh lucu.
Jangan lupa, menerusi filem Frozen 2, Olaf juga dipaparkan sebagai orang salji yang pandai bercerita dalam omel-omelan lucu dan jenaka bersahajanya sekali gus menarik perhatian penonton.
Mengambil keistimewaan itu, siapa sangka, ia kemudiannya menjadi satu ‘rezeki’ buat Olaf apabila Walt Disney Animation Studios dan Disney+ tampil dengan idea untuk melancarkan siri animasi pendek berjudul Olaf Presents.
Dijadualkan menemui peminat menerusi tayangan perdananya pada 12 November ini, Olaf Presents akan membawakan lima buah kisah klasik Disney yang popular untuk ‘diceritakan’ kepada penonton.
Siapa di sebalik watak Olaf? Siapa lagi kalau bukan pelakon terkenal Hollywood, Josh Gad yang begitu sinonim dengan watak tersebut sejak kemunculan Frozen.
Mencipta populariti tersendiri, Josh yang meminjamkan suaranya untuk watak Olaf akan menjadi tukang cerita kisah klasik Disney merangkumi kisah The Little Mermaid, Moana, The Lion King, Aladdin dan Tangled.
Berpeluang menghadiri sidang media global bersama aktor tersebut termasuk pengarah siri animasi pendek tersebut, Hyrum Osmond, Josh berkongsi keterujaannya memainkan peranan tersebut yang disifatkan sebagai satu peluang yang amat berharga.
Berikut ialah sesi temubual bersama pelakon berusia 41 tahun ini.
Apakah bahagian yang paling anda suka apabila berpeluang untuk menjadi ‘tukang cerita’ kisah-kisah ikonik animasi Disney ini dengan cara Olaf?
Berpeluang melewati dan mengingati semula semua momen manis kisah-kisah itu memberikan satu keseronokkan buat saya. Jujurnya, saya juga membesar dengan filem-filem animasi itu. Jadi, saya berada di usia yang sangat sempurna ketika Disney Animation melewati usia emas mereka. Masih saya ingat, menonton filem The Little Mermaid di panggung wayang dan ketika kecil, penuh dengan tanda tanya. Seolah-olah sedang menonton satu persembahan Broadway di layar skrin. Jadi, apabila dapat kembali mengingati naskah-naskah ini, bagi saya ia bagaikan satu impian yang menjadi nyata. Kemudian, dapat pula memainkan salah satu watak animasi Disney, mengikut jejak langkah idola saya, mendiang Robin William yang sangat ikonik menerusi watak Genie di dunia Aladdin, rasa macam tak percaya. Satu pengalaman yang sangat beremosi buat saya.
Apakah perkara yang paling anda suka mengenai watak Olaf yang dilihat sangat konsisten sepanjang penghasilan projek baru sejak 10 tahun lalu?
Apa yang saya suka apabila menyarung karakter Olaf ialah dia tidak begitu stagnasi, sama juga dengan watak-watak lain. Saya percaya semua orang akan bersetuju dengan pandangan ini. Setiap daripada watak ini ada elemen perkembangannya. Macam di dalam Frozen yang pertama, Olaf umpama baru dilahirkan.Dia sangat naif dan gemar banyak bertanya. Kemudian, dalam Frozen 2, dia dipaparkan sebagai ‘seorang’ yang matang. Bagi saya, setiap perkembangannya itu ada naik dan turunnya. Itu penting bagi memastikan karektornya sentiasa menarik dan dinamik agar penonton tidak bosan melihat dirinya cuma melakukan hal yang sama setiap kalinya.
Andai katalah, anda berpeluang untuk bertemu Olaf di dunia nyata, apakah yang anda ingin katakan padanya atau mungkin apakah yang anda mahu lakukan bersamanya?
Agak janggal untuk menjawab soalan inil. Tetapi saya cuba. Ya, mungkin saya akan minta dia sejumlah wang dan beritahu dia supaya pergi mencari suara sendiri dan jangan lagi mengikuti saya. (ketawa).
Apa agaknya yang anda rasa dan pandangan anda apabila titik fokus kini tertumpu kepada Olaf dan dia berpeluang untuk menjadi bintang selama seminit untuk setiap lima episod Olaf Presents ini?
Sudah tentu saya sangat sukakannya sebab saya sendiri menjadi Olaf (ketawa). Dapat membuka lembaran baru untuk watak ini yang sangat suka berimaginasi, penuh dengan kenaifan dan sangat polos namun bersungguh-sungguh. Ini bagi saya, sangat, sangat seronok dalam masa yang sama, terselit cabarannya. Maklumlah, daripada Frozen 2, tempoh masa untuk karya kreatif ini muncul bagi saya agak lambat. Ketika pihak produksi datang kepada saya untuk menceritakan mengenai jalan cerita Frozen yang pertama, saya akui, diri sendiri pun sudah terlupa. Tetapi bila diingati semula, saya memang sangat seronok merakamkan suara untuk Olaf ini.Saya harap semua yang lain juga begitu.