PUTRAJAYA: Kes positif Covid-19 di Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan di sini, menunjukkan trend peningkatan sejak dua minggu lalu.
Pegawai Kesihatan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Dr. Zainal Abidin Abu Bakar berkata, analisis perbandingan kes positif mingguan menunjukkan terdapat peningkatan bagi kes baharu yang didaftarkan.
Beliau berkata, bagi minggu epid (ME) ke-44 (31 Oktober hingga 6 November), sebanyak 252 kes positif didaftarkan berbanding 198 kes (ME ke-43) dan 163 kes (ME ke-44).
“Graf perbandingan kes positif mingguan juga menunjukkan terdapat peningkatan kes selama dua minggu berturut-turut yang melibatkan warga Putrajaya.
“Peta pergerakan 14 hari taburan kes pula menunjukkan pada ME-44 terdapat tiga lokaliti zon merah, lima lokaliti zon jingga, empat lokaliti zon kuning dan lapan lokaliti zon hijau,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Katanya, analisis kes positif berdasarkan faktor risiko jangkitan pada ME ke-44 mendapati majoriti kes positif membabitkan kontak rapat kepada kes positif Covid-19 iaitu sebanyak 67.8 peratus (171 kes), manakala selebihnya adalah jangkitan sporadik (32.1 peratus).
Zainal Abidin berkata, bagi pecahan kontak rapat pula, sebilangan besar kes adalah kontak rapat serumah (114 kes), diikuti dengan kontak lain seperti kerja/jiran/sekolah (37 kes) dan kontak rapat keluarga berlainan rumah (20 kes).
Putrajaya merekodkan 28 kes positif Covid-19 semalam iaitu 24 kes penularan tempatan dan dua kes import menjadikan keseluruhan 444 kes aktif.
Secara keseluruhan, kes kumulatif terkumpul Covid-19 bagi Putrajaya mencecah 7,293 kes setakat semalam.
Bagaimanapun, tiada kematian direkodkan semalam, malah tiada juga kes dimasukkan ke unit rawatan rapi (ICU) dan yang memerlukan bantuan alat pernafasan.