Kerosakan alam antara faktor kepupusan penyu - Utusan Malaysia

Kerosakan alam antara faktor kepupusan penyu

SHARIFAH ZAKIAH Syed Sahab (bertopi kuning) turut serta dalam program pelepasan anak penyu yang diadakan di Pusat Konservasi Penetasan Penyu Jabatan Perikanan negeri di Taman Negara Pulau Pinang semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU: Sebanyak dua ekor anak penyu dilepaskan ke habitat asalnya di laut sebagai simbolik kepada Program Pemuliharaan Penyu 2021 yang diadakan di Pusat Konservasi Penetasan Penyu Jabatan Perikanan negeri di Taman Negara Pulau Pinang, Teluk Bahang, di sini semalam. 

Dianjurkan secara bersama oleh Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri; Flex Penang; Jabatan Perikanan negeri; Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) serta Persatuan Sahabat Belia Pulau Pinang, program itu merupakan sebahagian daripada program yang diatur sempena Sambutan Hari Alam Sekitar Negara (HASN) tahun ini. 

Pengarah JAS negeri, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, seramai 58 sukarelawan mengambil bahagian dalam program tersebut yang dimulakan dengan aktiviti merentas hutan.

“Antara aktiviti lain yang dijalankan ialah menanam 100 anak pokok ‘ambong-ambong’, mengecat pagar pusat konservasi penyu serta mengutip sampah di sepanjang Pantai Kerachut di Taman Negara Pulau Pinang. 

“Pada masa sama, peserta juga diberi taklimat berkenaan dengan penyu serta peranan Pusat Konservasi Penyu yang diselenggara oleh Jabatan Perikanan Negeri Pulau Pinang,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini. 

Jelas Sharifah Zakiah, pokok ‘ambong-ambong’ dipilih kerana merupakan pokok yang menjadi tarikan untuk penyu bertelur di bawahnya. 

Katanya, penyu menghadapi risiko kepupusan disebabkan pelbagai ancaman seperti perubahan landskap yang berpunca daripada pembangunan, kematian oleh pemangsa serta pencemaran plastik di lautan. 

“Difahamkan, penyu jantan akan kekal berada di habitat kelahiran asalnya manakala penyu betina akan mengembara ke serata dunia sebelum kembali ke habitat asal kelahirannya untuk bertelur. 

“Namun, sekiranya habitat asalnya terganggu, penyu ini mungkin tidak akan bertelur langsung dan ini secara tidak langsung ini akan mengurangkan populasi penyu di seluruh dunia,” ujarnya 

Tambahnya, beliau berharap program seperti itu akan memberi kesedaran kepada semua pihak untuk terus memelihara flora dan fauna yang dimiliki negara. -UTUSAN ONLINE

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya