KUANTAN: Kerajaan negeri disaran menyediakan pelbagai peluang, sokongan dan dukungan agar golongan belia mampu bersama-sama dalam agenda pembangunan negara serta negeri.
Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, kebanyakan belia berhasrat membina kerjaya sendiri dengan bercita-cita menjadi usahawan.
Menurut baginda, dengan itu kerajaan negeri juga perlu menambah baik langkah-langkah sedia ada bagi mewujudkan lebih ramai usahawan dalam kalangan belia.
“Bantulah mereka dengan latihan bersesuaian. Saya percaya ramai belia Pahang terutama graduan-graduan yang berminat untuk menjadi usahawan.
“Bagaimanapun semangat tersebut tidak kesampaian kerana mereka tidak mempunyai pengetahuan dan pengalaman serta kemampuan dari segi modal yang tidak mencukupi,” titah baginda pada di Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Negeri Pahang di sini, semalam. – UTUSAN ONLINE