Kerepek Ginang Che Mah ‘terbang’ hingga ke bumi Mekah - Utusan Malaysia

Kerepek Ginang Che Mah ‘terbang’ hingga ke bumi Mekah

MASTURA Mohd. Lazim (kiri) bersama ibunya, Rohimah Teh menunjukkan kerepek ginang yang siap dibungkus sebelum dipasarkan kepada pelanggan. – UTUSAN/ROHANA MOHD. NAWI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BACHOK: Biarpun kelihatan biasa, Kerepek Ginang Che Mah diusahakan dua beranak di rumah mereka di Kampung Sungai, Perupok di sini bukan calang-calang kerana dijual hingga ke Mekah.

Bagi memenuhi permintaan pelanggan, Rohimah Teh, 55, yang berpengalaman 40 tahun membuat snek tradisi tersebut dengan bantuan anaknya, Mastura Mohd. Lazim, 31, kini perlu menghasilkan antara 500 hingga 1,000 ke­ping kerepek ginang sehari.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Rohimah berkata, dia mempelajari cara membuat kerepek ginang daripada arwah ibunya, Mek Nafisah Majid yang berniaga secara kecil-kecilan bagi menambah pendapatan keluarga.

“Anak saya (Mastura) cadang­kan supaya kami komersialkan kerepek ini. Alhamdulillah, bukan sekadar meneruskan legasi arwah malah berjaya menjualnya hingga luar negara, terutama di Mekah.

“Sekarang bagi memenuhi permintaan pelanggan, kami perlu mengukus 10 kilogram beras pulut sehari,” katanya ketika ditemui di kilang yang dibina di rumah mereka baru-baru ini.

Sementara itu, Mastura berkata, setiap 10 keping kerepek ginang dijual pada harga RM10.

Kata graduan Diploma Pengurusan Perniagaan itu, disebabkan Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), mereka terpaksa menghentikan perusahaan itu selama kira-kira setahun.

“Kami sukar mendapatkan beras pulut dari negara jiran. Kalau ada, harganya sangat mahal.

“Kami baru sebulan beroperasi semula namun syukur sambutan diterima menggalakkan termasuk tempahan pelanggan dari luar Kelantan seperti biasa,” katanya.

Jelas Mastura, kerepek ginang sesuai dibuat ketika cuaca panas kerana perlu dijemur di bawah sinaran cahaya matahari yang panas terik.

“Proses pembuatannya ringkas dengan menggunakan beras pulut, santan, gula dan garam. Pa­ling rumit ialah proses menekap untuk menjadikannya bentuk bulat sebelum dijemur selama dua hari berturut-turut supaya benar-benar kering.

“Memandangkan musim tengkujuh sudah bermula ketika ini, pengeluaran kami agak terjejas kerana tidak dapat menjemur kerepek ini seperti biasa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya