BACHOK: Kawasan pesisir Pantai Baru dan Kuala Melawi, di sini menjadi tumpuan orang ramai selepas ribuan kerang kampak atau scallop ditemukan terdampar di situ sejak beberapa hari lalu.
Difahamkan, kehadiran kerang kampak di pesisiran pantai itu mula dikesan beberapa nelayan tempatan yang sedang menjala ikan belanak pada pagi Sabtu.
Nelayan di Pantai Baru, Zahari Che Ali, 42, memberitahu Utusan Malaysia, kali terakhir spesies yang dikategori jarang dijumpai itu muncul di pesisir pantai Bachok ialah kira-kira 20 tahun lalu.
Menurutnya, ribuan kerang itu timbul di permukaan air laut bersama hempasan ombak sebelum terdampar di tepi pantai sekali gus memudahkan orang ramai mengutipnya.
“Sabtu lalu saya keluar untuk menjala ikan belanak tetapi selepas melihat ribuan kerang ini terdampar di pantai, saya segera berlari pulang ke rumah kira-kira 200 meter dari pantai untuk mengambil sauk.
“Memang ini rezeki luar jangka. Pada hari pertama saya mengutip lebih 100 kilogram kerang kampak dalam tempoh tiga jam menggunakan sauk bersaiz besar,” katanya ketika ditemui di Pantai Baru, di sini semalam.
Zahari berkata, dia menjual kerang tersebut dengan harga RM5 sekilogram manakala harga runcit kerang itu boleh mencecah RM10 sekilogram.
“Selepas dimasak di restoran makanan laut, harganya mampu mencecah RM50 sekilogram,” katanya yang menganggap kerang itu sebagai rezeki musim tengkujuh setelah hampir dua minggu tidak dapat ke laut.
Nelayan di Kuala Melawi, Ismail Deraman, 44, pula berkata, sebaik sahaja menyedari kehadiran kerang kampak, dia tidak membuang masa dengan menggunakan jala yang ada untuk mengumpulkan kerang tersebut.
“Rezeki ini di luar jangkaan kerana datang tiba-tiba ketika kami gagal turun ke laut. Bukan sekadar menjadi lauk istimewa buat keluarga, tetapi boleh dijual sebagai sumber pendapatan tambahan.
“Kerang ini sedap digoreng ringkas, dibuat tiga rasa atau sup. Selepas tular di Facebook, semakin ramai orang datang mencari kerang ini sehingga makin berkurangan hari ini berbanding Sabtu dan Ahad lalu,” katanya. -UTUSAN ONLINE