BERA: Kerajaan Pusat bersetuju memberi pampasan kepada Pahang serta negeri-negeri lain atas komitmen mengekalkan hutan simpan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kerajaan mencari formula terbaik bagi menilai jumlah pampasan yang dapat memberi manfaat kepada kerajaan negeri dan tidak membebankan Pusat.
“Di Semenanjung, Pahang adalah negeri tertinggi yang mengekalkan hutan simpan lebih 57 peratus dan pengorbanan tersebut kita tidak lupakan.
“Berhubung sumbangan iaitu dari segi pampasan terhadap pengorbanan kerajaan Pahang mengekalkan hutan simpan kabinet sudah pun bersetuju,” katanya pada Program Pemerkasaan Pendigitalan Perusahaan Mikro Kecil dan Sederhana (PMKS) Kebangsaan 2021 di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera, di sini hari ini.
Menurut Ismail Sabri, formula terbaik akan dihasilkan dalam usaha menyalurkan pampasan yang sewajarnya kepada kerajaan negeri.
Katanya, semua pihak terbabit termasuk kerajaan negeri dan Persekutuan akan bersama berbincang dalam menyelesaikan isu tersebut. – UTUSAN ONLINE