Kerajaan Pahang beri bantuan tanah, rumah baharu

Kerajaan Pahang ‘murah hati’ beri bantuan tanah, rumah baharu

WAN Rosdy Wan Ismail (kanan) menyerahkan replika kunci projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) yang bernilai RM65,000 kepada seorang penduduk yang kurang berkemampuan di Kampung Bukit Rang di Jerantut, Pahang. - FOTO/HARIS FADILAH AHMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JERANTUT: Seramai 650 orang penduduk menerima bantuan tanah untuk tapak kediaman, pertanian, dusun buah-buahan serta kediaman baharu projek Rumah Rakyat Pahang (RRP) daripada kerajaan negeri tahun ini.

Dari jumlah tersebut, seramai 54 orang menerima bantuan tapak rumah, pertanian (206 orang), Skim Tanah Rakyat (STR) untuk dusun buah-buahan dan kediaman (383 orang) serta tujuh orang penduduk kurang berkemampuan menerima rumah baharu di bawah projek RRP.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, semua bantuan itu merupakan hasil keuntungan yang diperoleh daripada pelbagai sumber malah yang sedia ada seperti tanah ‘dipulangkan’ untuk dinikmati oleh rakyat negeri ini.

“Semua hasil pendapatan serta sumber kekal yang sedia ada merupakan anugerah Allah SWT termasuk kestabilan politik serta kewangan yang kukuh mencerminkan pentadbiran kerajaan negeri dan anak syarikat diurus secara teratur dan telus.

“Kita (kerajaan negeri) memperoleh keuntungan menerusi pungutan hasil dan pendapatan anak syarikat menerusi pelbagai sektor, sebaliknya sekiranya tidak ada lebihan perolehan hasil (keuntungan) manakan mampu kita hendak menyediakan bantuan berkenaan untuk kemudahan serta keselesaan rakyat,” katanya semasa Majlis Penyampaian Surat Kelulusan STR dan RRP di Kampung Bukit Rang, Pulau Tawar di sini semalam.

Yang hadir sama, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr. Sallehuddin Ishak; Ahli Dewan Undangan Negeri Tahan, Mohd. Zakhwan Ahmad Badarddin dan  Pegawai Daerah Jerantut, Khairun Nissa Aris.

Menurut Wan Rosdy, kerajaan negeri pada dasarnya meluluskan bantuan di bawah STR seluas 1.2 hektar tanah kepada penduduk mulai tahun ini untuk keselesaan mereka membina kediaman, projek pertanian komersial termasuk dusun buah-buahan.

“Bagaimanapun, kita memberikan kelulusan kepada pemohon STR cuma tanah milik kerajaan negeri sahaja berdekatan atau pinggir kampung bukan melibatkan rizah hutan simpanan.

“Hutan simpanan yang ada akan terus kekal dipulihara serta dipantau sebagai kawasan tadahan air, kemampanan biodiversiti, habitat flora fauna bagi tujuan pembangunan sektor pelancongan,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri yang juga wakil rakyat kawasan Pulau Tawar, Datuk Nazri Ngah menjelaskan kerajaan negeri juga akan menimbang pemberian lot kosong untuk tapak rumah atau projek RRP kepada generasi kedua di tanah rancangan Felda dan kampung tradisional.

“Kerajaan negeri juga sedia menimbang dan masih dalam cadangan bantuan yang sama untuk penduduk yang berusia 18 tahun ke atas dan belum berkahwin.

“Pejabat Daerah akan meneliti dan mengkaji kawasan yang sesuai untuk projek perumahan bagi generasi kedua serta menilai peserta yang benar-benar layak,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya