KOTA BHARU: Malaysia mengiktiraf Covaxin keluaran syarikat dari India, Bharat Biotech dan membenarkan mana-mana pengembara yang menerima suntikan vaksin Covid-19 tersebut masuk ke negara ini.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaludin Abu Bakar berkata, walaupun Malaysia bukan pengguna vaksin jenis itu, ia tetap diiktiraf sebagaimana vaksin lain yang mendapat kelulusan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO).
“Saya ucapkan tahniah kepada India sebab dapat hasilkan vaksin sendiri yang mendapat pengiktirafan WHO.
“Buat masa ini, tiada keperluan untuk Malaysia beli Covaxin kerana kita sudah mempunyai bekalan yang cukup untuk rakyat,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Raja Perempuan Zainab II (HRPZ II), di sini hari ini.
Hadir sama Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Noor Hisham Abdullah; Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Datuk Zaini Husin dan Pengarah HRPZ II Datuk Selasawati Ghazali.
Rabu lalu, Covaxin yang dibangunkan Bharat Biotech bagi kegunaan ketika darurat telah mendapat kelulusan WHO, sekali gus menjadi vaksin Covid-19 ketujuh yang diiktiraf badan itu.
Enam lagi vaksin terawal yang diluluskan WHO untuk kegunaan di seluruh dunia adalah Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, Johnson & Johnson Janssen, Moderna, Sinopham dan Sinovac
Covaxin dilaporkan mempunyai keberkesanan 78 peratus terhadap Covid-19 serta sesuai untuk negara berpendapatan rendah berikutan keperluan kos penyimpanan yang rendah.
Kelulusan kepada Covaxin sekali gus membuka jalan untuk negara-negara miskin melaksanakan misi pemvaksinan secara meluas terhadap rakyat masing-masing. – UTUSAN