Keputusan kes Peter Anthony 14 Disember - Utusan Malaysia

Keputusan kes Peter Anthony 14 Disember

PETER ANTHONY
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 14 Disember ini bagi memutuskan sama ada bekas Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah, Datuk Peter Anthony dibebaskan atau dipanggil membela diri terhadap pertuduhan berkaitan dokumen palsu berhubung kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) di Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Hakim Azura Alwi menetapkan tarikh itu selepas mendengar penghujahan Timbalan Pendakwa Raya Wan Shaharuddin Wan Ladin yang mewakili pihak pendakwaan dan peguam Munawar Kabir Mohd. Zainal Abidin yang mewakili tertuduh yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malalap.

Jika mahkamah memutuskan beliau membela diri, keterangan pihak pembelaan akan didengar selama lima hari berturut-turut bermula 3 hingga 7 Januari tahun depan.

Sebelum itu, Munawar memaklumkan, pihaknya akan memanggil lapan saksi pembelaan memberi keterangan.

Wan Shaharuddin turut memohon agar pernyataan pembelaan diberikan kepada pihak pendakwaan dalam tempoh seminggu sebelum saksi-saksi memberi keterangan.

Mahkamah sedang mendengar penghujahan pada akhir kes pendakwaan terhadap Peter, 50, yang didakwa menggunakan dokuman palsu iaitu surat Pejabat Naib Canselor UMS kononnya UMS telah mengadakan kolaborasi dengan Syarikat Asli Jati Engineering Sdn. Bhd. (Asli Jati) milik tertuduh.

Peter sebagai Pengarah Urusan Asli Jati didakwa memalsukan surat pejabat Timbalan Naib Canselor (TNC) UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan memasukkan pernyataan palsu dengan niat menipu di pejabat Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 13 Jun 2014 dan 21 Ogos 2014.

Beliau juga berdepan pertuduhan pilihan iaitu sebagai Pengarah Urusan Syarikat Asli Jati, menggunakan surat pejabat TNC UMS bertarikh 9 Jun 2014 dengan pernyataan palsu pada tajuk surat itu di tempat dan masa yang sama.

Pada perbicaraan lalu, mahkamah diberitahu bahawa kontrak penyelenggaraan sistem Mekanikal dan Elektrikal (M&E) berkenaan tidak diberikan kepada Asli Jati milik Peter sebaliknya diberi kepada REMT Utama Sdn. Bhd. (REMT) melalui tender terbuka.

Bagaimanapun, satu surat lain bertarikh 9 Jun 2014 kemudian dikeluarkan oleh UMS tanpa kebenaran Naib Canselor yang mana tempoh penyelenggaraan telah dilanjutkan sehingga lima tahun.

Terdahulu, Wan Shaharuddin berhujah, Peter telah melakukan tipu daya terhadap saksi-saksi pendakwaan ketiga, kelapan dan kesembilan yang membawa kepada kesalahan di bawah Sesyen 468 Kanun Keseksaan.

Mereka ialah Mohd. Shukur Mohd. Din (SP3), Timbalan Naib Canselor (Akademik & Antarabangsa) UMS, Profesor Dr. Shariff Abdul Kadir S. Omang (SP8) dan Pendaftar UMS, Lt. Kol (K) Datuk Abdullah Mohd. Said (SP9).

Hujah pendakwaan, dalam kes ini tertuduh telah mendapat keuntungan secara salah apabila projek itu diberikan kepada syarikatnya, Asli Jati menggunakan kepala surat UMS selepas beliau memohon kepada Menteri Kewangan ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sambil menyifatkan Peter menggunakan taktik kotor, Wan Shaharuddin mempertikaikan mengapa surat permohonan itu tidak dihantar menggunakan kepala surat Asli Jati sebaliknya menggunakan kepala surat UMS.

Keterangan SP3 menyatakan, beliau meninggalkan deraf surat sokongan kosong dalam komputer di pejabat Peter namun mendapati keesokannya surat itu telah diisi dengan tarikh, tajuk dan kandungan.

Sehubungan itu, Wan Shaharuddin menghujahkan, Peter telah memalsukan dokumen itu kerana beliau yang menaip tajuk pada surat tersebut kerana SP3 menyatakan dia meninggalkan kepala yang surat kosong dalam komputer tertuduh.

Hujah beliau, tindakan menggunakan pengaruh untuk mendapatkan projek bukan pertama kali dilakukan dan dalam pertuduhan yang dihadapinya, Peter tidak sepatutnya merampas projek tersebut yang telah diberikan kepada REMT seperti yang telah diputuskan oleh UMS.

Menurut pihak pendakwaan, projek itu diberikan secara tender terbuka kerana jika sebaliknya, reputasi UMS akan rosak dan menyebabkannya perlu membayar ganti rugi kepada REMT.

Sehubungan itu, pihak pendakwaan memohon agar tertuduh dipanggil membela diri terhadap pertuduhan yang dihadapinya.

Sebelum itu, Munawar turut berhujah, tiada bukti menunjukkan Peter telah melakukan kesalahan seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan.

Pembelaan berhujah, deraf surat sokongan yang didakwa disediakan di pejabat tertuduh tidak dapat dibuktikan kesahihannya kerana pihak pendakwaan tidak mengemukakan keterangan analisis forensik bagi mengaitkan tertuduh dengan pertuduhan.

Peguam bela turut menghujahkan, pihak pendakwaan juga gagal membuktikan bahawa komputer yang dikatakan digunakan untuk menyediakan deraf surat sokongan adalah milik anak guamnya kerana komputer itu tidak dirampas oleh pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jelas Munawar, SP3 berbohong apabila menyatakan deraf surat berkenaan disediakan di pejabat Peter sebaliknya disediakan oleh SP3 sendiri.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 468 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Dia dituduh mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN