PETALING JAYA: Pengendali Kuala Lumpur (KL) City, Bojan Hodak menyifatkan keputusan seri dalam aksi separuh akhir pertama kempen Piala Malaysia adalah adil buat kedua-dua pasukan selepas masing-masing mempamerkan prestasi terbaik.
Bagaimanapun, Hodak memuji anak buahnya yang berjaya mempertahankan rekod tanpa kalah di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur untuk musim ini kepada 21 perlawanan sekali gus menjadi rekod paling lama dimiliki skuad City Boys.
“Kedua-dua pasukan mempamerkan semangat juang cukup tinggi. Saya percaya peluang masih terbuka walaupun pasukan lawan memiliki kelebihan (gol di tempat lawan).
“Mana-mana pasukan yang melakukan kesilapan pada perlawanan kedua nanti pasti akan dihukum,” ujarnya kepada pemberita dalam sidang media, semalam.
Hodak turut mempertahankan kesilapan penjaga golnya, Kevin Mendoza yang menyaksikan mereka hanya mampu mengikat Melaka United 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama.
Kesilapan Mendoza yang tersalah membaca bola ketika menanti sepakan percuma Adriano Narcizo pada minit kelapan mampu dinafikan jika dia berada di kedudukan tepat.
“Takkan disebabkan kesilapan itu saya nak menghukumnya. Sepanjang musim ini, dia sudah banyak menyelamatkan kami dengan aksi tangkasnya dalam setiap perlawanan,” jelasnya yang yakin KL City mampu mara ke final.
Sementara itu, ketua jurulatih Melaka, Zainal Abidin Hassan mengakui anak buahnya kurang mencipta peluang untuk menjaringkan gol tetapi secara keseluruhan beliau memuji kesungguhan dipamerkan pasukannya.
“Kita kurang mencipta peluang untuk menjaringkan gol, pasukan KL City pula bertahan dengan baik.
“Sudah tentu tempoh beberapa hari ini akan dimanfaatkan sepenuhnya menjelang perlawanan kedua, Jumaat ini. Sudah tentu saya mahu kita tidak dibolosi dan mencipta lebih banyak peluang nanti,” katanya.