Kenyataan 'Jurutera Miskin' tidak berdasarkan fakta - Utusan Malaysia

Kenyataan ‘Jurutera Miskin’ tidak berdasarkan fakta

CABARAN kerjaya jurutera yang berdepan dengan risiko tinggi dalam profesion sewajarnya mereka menerima upah yang tinggi. - UTUSAN/ SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) menjelaskan penetapan gaji minimum kerjaya jurutera seperti mana profesion lain yang berdasarkan penawaran dan permintaan.

Menurut lembaga itu, anggaran gaji permulaan jurutera termasuk elaun di dalam perkhidmatan awam pada 2000 adalah sebanyak RM1,800 manakala pada tahun ini pula adalah RM3,500 sekali gus menunjukkan berlaku peningkatan hampir 100 peratus sepanjang tempoh 20 tahun.

“Sehubungan itu, kenyataan ‘Jurutera Miskin’ di dalam artikel tersebut adalah tidak berdasarkan fakta dan seterusnya menjejaskan hasrat kerajaan untuk memperkasakan profesion teknikal terutamanya bidang kejuruteraan di dalam pembangunan negara,” kata LJM dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, Utusan Malaysia melaporkan gaji jurutera tempatan di negara ini masih statik dan tidak berubah sejak 20 tahun lalu dan dianggap tidak setimpal dengan profesion berkenaan, walaupun bergelar profesional.

Menurut laporan akhbar ini lagi, gaji permulaan yang diterima jurutera siswazah masih ditawarkan pada nilai sama seperti era 2000 iaitu serendah RM1,500 hingga RM2,000 berbanding pekerja perkhidmatan p-hailing yang meraih pendapatan RM4,000 sebulan.

Dalam pada itu, LJM menjelaskan, penentuan gaji minimum jurutera dan pasukan kejuruteraan adalah di luar bidang kuasanya kerana mengikut Seksyen 4(1)(d) Akta Pendaftaran Jurutera 1967, pihaknya hanya berfungsi menetapkan skala yuran bagi perkhidmatan profesional kejuruteraan.

LJM menyifatkan tuduhan kelemahan penguatkuasaan Akta Pendaftaran Jurutera 1967 yang tidak jelas terhadap graduan kejuruteraan dan lambakan graduan kejuruteraan melebihi pasaran adalah tidak benar dan dibuat tanpa kajian yang teliti dan berasas.

“Nisbah jurutera dengan bilangan penduduk di Malaysia ialah pada 1:174, iaitu jauh lebih rendah berbanding negara maju seperti Jerman pada 1:82 dan Perancis pada 1:75,” kata kenyataan itu.

Dalam pada itu, LJM menjelaskan, pihaknya sebagai badan berkanun Persekutuan di bawah Akta Pendaftaran Jurutera 1967 berfungsi sebagai mengawal selia dan mendaftar jurutera dan teknologi kejuruteraan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kepentingan orang awam terjamin dan terpelihara.

Jelas lembaga itu, hanya mereka memperoleh kelayakan yang diiktiraf dan diakreditasi oleh LJM layak berdaftar dan dibenarkan bekerja bagi melaksanakan khidmat profesional kejuruteraan dan pendaftaran di bawah pihaknya adalah mandatori berdasarkan Seksyen 24(h) Akta Pendaftaran Jurutera 1967.

“Peruntukan di atas memberikan tanggungjawab kepada majikan untuk memastikan bahawa orang-orang yang digaji atau dilantik dalam sesuatu jawatan atau projek adalah berdaftar dengan LJM untuk melaksanakan perkhidmatan profesional kejuruteraan.

“Dalam menguatkuasakan akta ini dan demi mengelakkan lambakan graduan kejuruteraan yang tidak berdaftar daripada bekerja atau diambil bekerja, LJM menyediakan jalan untuk aduan kepada pelanggaran undang-undang tersebut, di mana aduan terhadap mereka tersebut boleh dibuat oleh mana-mana jurutera atau orang ramai,” jelas LJM.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya