Kempen Beli Barangan Malaysia unjur nilai jualan meningkat 2.5 peratus  - Utusan Malaysia

Kempen Beli Barangan Malaysia unjur nilai jualan meningkat 2.5 peratus 

ROSOL Wahid (kanan) diberi penerangan mengenai produk yang dipamerkan oleh seorang peniaga yang menyertai Karnival Jualan Beli Barangan Malaysia sempena perasmian Kempen Beli Barangan Malaysia di Langkawi hari ini. - UTUSAN/NUR AMALINA AZMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LANGKAWI: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna optimis mampu mencapai unjuran peningkatan sebanyak 2.5 peratus bagi nilai jualan menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia pada tahun ini berbanding prestasi dan nilai jualan, tahun lalu.

Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata, pada 2020, pelaksanaan kempen itu menyaksikan peningkatan sebanyak RM3.3 bilion berbanding catatan nilai jualan sebanyak RM2.84 bilion pada 2019.

Menurutnya, nilai jualan yang diperoleh melalui portal dalam talian marketplace pada 2020 melebihi RM145 juta berbanding 2019 sebanyak RM6.84 juta.

Katanya, komitmen tersebut berlandaskan perkembangan unjuran semasa pada tahun ini yang semakin hampir mencapai sasaran.

“Menerusi Kempen Beli Barangan Malaysia ini, kementerian menggalakkan rakyat Malaysia mengutamakan barangan buatan tempatan.

“Ia bukanlah suatu yang baharu, malah pelaksanaan inisiatif ini telah dimulakan sejak 1984. Sejak itu, kempen ini telah ditambah baik dari semasa ke semasa sehinggalah ia menjadi salah satu trademark kementerian ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kempen Beli Barangan Malaysia peringkat Kebangsaan di Pantai Chenang di sini hari ini.

Pada perasmian kempen tersebut, seramai 20 usahawan mikro, kecil dan sederhana tempatan menyertai Karnival Jualan Beli Barangan Malaysia bermula 11 hingga 14 November ini.

Rosol memberitahu, inisiatif Kempen Beli Barangan Malaysia ini merupakan platform dalam penjenamaan bagi mempertingkatkan kepercayaan pengguna terhadap produk tempatan.

Tambahnya, kempen tersebut juga disasarkan menjadi serampang dua mata dalam membantu meningkatkan jualan produk pengusaha tempatan sekali gus mengukuhkan ekonomi negara.

“Kita sedar bahawa ramai pengguna terkesan dengan pandemik yang berlaku di mana kuasa membeli pengguna juga menurun.

“Justeru, pada tahun ini, kementerian menyasarkan supaya manfaat Kempen Beli Barangan Malaysia ini juga dinikmati secara terus oleh pengguna melalui penawaran harga istimewa bagi barangan keluaran tempatan,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya