ALOR SETAR: Kedah wajar menerima sekurang-kurangnya RM100 juta setahun sebagai pampasan terhadap komitmen mengekalkan hutan simpan, selain memastikan kelestarian alam semula jadi yang membawa manfaat besar kepada negara ini.
Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor berkata, jumlah itu adalah nilai paling munasabah setelah mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan di samping kos penyelenggaraan sumber dan aliran.
Katanya, langkah Kedah mengekalkan kawasan hutan simpan bukan semata-mata untuk manfaat negeri ini, malah pengorbanan yang dibuat untuk seluruh negara.
“Kerajaan negeri mengalu-alukan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang menzahirkan persetujuan kerajaan Persekutuan memberi pampasan kepada negeri-negeri yang mengekalkan kawasan hutan simpan sebagai kawasan tadahan air.
“Mengambil kira kerugian akibat kehilangan hasil hutan, kos untuk penyelenggaraan sumber dan aliran bagi memastikan hutan dan kelestarian alam semula jadi, nilai sekurang-kurangnya RM100 juta setahun pampasan negeri Kedah adalah nilai yang paling munasabah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Semalam, Ismail Sabri memaklumkan kerajaan Pusat bersetuju memberi pampasan kepada Pahang serta negeri-negeri lain atas komitmen mengekalkan hutan simpan.
Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi berkata, luas keseluruhan kawasan hutan di negeri Kedah ialah 344,865 hektar meliputi 36.4 peratus daripada keseluruhan negeri. – UTUSAN ONLINE