PUTRAJAYA: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memutuskan kehadiran murid ke sekolah masih mengekalkan kaedah penggiliran dan tidak dilaksanakan secara berperingkat.
Menurut kenyataan KPM, pihaknya sentiasa memantau dan meneliti keadaan semasa pengoperasian sekolah secara bersemuka sejak dibuka semula bermula 3 Oktober lalu.
Katanya, dapatan daripada pemantauan dan penelitian menunjukkan bahawa pengoperasian sekolah berjalan lancar dan teratur mengikut Garis Panduan Pengurusan dan Pengoperasian Sekolah 3.0.
“Setelah mengambil kira dapatan ini serta situasi semasa pandemik Covid-19, KPM memutuskan kehadiran murid pada kali ini tidak dilaksanakan secara berperingkat namun mengekalkan kaedah penggiliran.
“Institusi pendidikan bawah KPM merujuk kepada institusi pendidikan swasta yang berdaftar bawah KPM bagi kategori sekolah dan kategori pusat,” katanya hari ini.
Dalam pada itu, berhubung pengoperasian sekolah bagi negeri Kedah, Perak, Perlis, Pulau Pinang dan Sabah, kemasukan murid Tahun 1 hingga Tahun 6 di sekolah rendah serta kelas peralihan dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 4 di sekolah menengah adalah pada 21 November bagi Kedah dan lima negeri lain itu pada 22 November.
Katanya, kehadiran murid dalam kumpulan tersebut di sekolah harian adalah mengikut kaedah penggiliran.
“Bagi murid di sekolah asrama sepenuhnya pula adalah tanpa penggiliran. Perincian mengenai kemasukan murid sekolah asrama sepenuhnya akan dimaklumkan oleh pihak sekolah kepada ibu bapa/penjaga,” katanya. – UTUSAN ONLINE