Kapten Affendi datang ikuti kursus penerbangan ketika nahas

Kapten Affendi datang ikuti kursus penerbangan ketika nahas

JENAZAH Kapten Mohamad Affendi Bustamy dibawa ke Muadzam Shah, Pahang dari HSJ, Pulau Pinang kira-kira pukul 2 petang tadi. - FOTO/IQBAL HAMDAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BUKIT MERTAJAM: Jenazah Kapten Mohamad Affendi Bustamy, 31, yang maut dalam nahas pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) malam tadi dijangka dikebumikan di Muadzam Shah, Pahang, hari ini. 

Perkara itu dimaklumkan adik perempuan mangsa yang hanya mahu dikenali sebagai Nur kepada pemberita ketika ditemui di pekarangan unit forensik Hospital Seberang Jaya (HSJ), hari ini. 

Nur berkata, dia datang bersama isteri arwah iaitu Nur ‘Izati Shari, 30, selepas dimaklumkan mengenai kejadian menyayat hati itu. 

Jelas Nur, abangnya menetap di Labuan, Sabah dan hanya datang ke Pulau Pinang untuk mengikuti kursus atau latihan penerbangan. 

“Ketika kejadian, kakak ipar saya berada di Kelantan kerana sedang bercuti dan kami terus bergegas ke sini untuk membuat pengecaman mayat selepas diberitahu mengenai kejadian ini,” katanya. 

Nur ‘Izati bagaimanapun dilihat hanya menundukkan muka kerana terlalu sedih dan tidak banyak bercakap kerana dipercayai masih terkejut dengan berita yang menimpa suaminya itu. 

Dalam kejadian yang berlaku dalam kawasan pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Butterworth pukul 10.07 malam itu, seorang lagi anggota TUDM dilaporkan cedera selepas pesawat jenis Hawk 108 itu terhempas. 

Mejar Mohd. Fareez Omar, 33, kini sedang menerima rawatan di HSJ di sini dan dilaporkan berada dalam keadaan selamat dan stabil.

Dalam pada itu, bapa kepada Mohd. Fareez yang juga seorang anggota tentera, Mejar Omar Deros berkata, dia bersyukur kerana anaknya selamat dalam kejadian itu, namun tetap bersedih dengan kejadian yang menimpa Mohamad Affendi. 

“Alhamdulillah, anak saya tak apa-apa tapi dia masih dalam pemantauan serta pengawasan pihak hospital kerana cedera,” katanya yang bergegas datang dari Selangor selepas menerima berita itu. 

Dalam pada itu, petugas media telah ‘berkampung’ di kawasan hospital itu seawal pukul 8 pagi. 

Van yang membawa jenazah Kapten Mohamad Affendi bagaimanapun hanya bergerak meninggalkan pekarangan unit forensik kira-kira pukul 2 petang ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya