KUDAT: Aktiviti mandi-manda sebuah keluarga berakhir menjadi tragedi apabila seorang anak lelaki berusia tiga tahun lemas di Pantai Kampung Bangau, semalam.
Dalam kejadian kira-kira pukul 3 petang itu, mangsa dikatakan sedang mandi-manda bersama ahli keluarga yang lain sebelum dilaporkan hilang.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, mangsa ditemukan oleh penduduk kampung tidak jauh dari lokasi dilaporkan hilang dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.
Pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.13 petang dan sepasukan enam pegawai dan angggota digerakan ke lokasi kejadian yang terletak kira-kira 20 kilometer dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kudat.
Beliau berkata, apabila tiba di lokasi, pasukan bomba dengan bantuan penduduk kampung menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) pada pukul 4.25 petang.
Kemudian mangsa ditemukan berhampiran lokasi terakhir mangsa dilihat dan disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan. Mayat mangsa diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.
Pihak bomba turut menjalankan pemeriksaan akhir di kawasan sekitar lokasi kejadian bagi memastikan tiada elemen-elemen bahaya lain dan operasi tamat sepenuhnya pada pukul 6.29 petang.- UTUSAN ONLINE