BELURAN: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 11 tahun maut manakala tiga yang lain cedera dalam kemalangan yang berlaku di Jalan Beluran Saturan, hari ini.
Dalam kejadian pada pukul 5.18 petang itu, kenderaan dinaiki mangsa bersama empat individu lain termasuk seorang wanita bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda milik Kementerian Kesihatan Malaysia.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Daerah, Rastam Keladi berkata, dalam kemalangan itu, seorang mangsa yang menaiki Toyota Corolla tersepit manakala, tiga lelaki mengalami kecederaan.
Pasukan bomba kemudian berjaya mengeluarkan mangsa yang tersepit yang kemudiannya disahkan meninggal dunia dilokasi kejadian oleh pegawai perubatan.
Kenderaan dinaiki mangsa turut terputus dua akibat pelanggaran yang berlaku dan kenderaan Toyota Vigo milik Kementerian Kesihatan terhumban ke dalam longkang di bahu jalan.
Walau bagaimanapun pemandu kenderaan milik Kementerian Kesihatan berada dalam keadaan selamat dan tidak mengalami kecederaan.
Mayat mangsa diserahkan kepada pasukan polis untuk tindakan selanjutnya dan tiga mangsa lelaki yang cedera dikejarkan ke Hospital Beluran untuk menerima rawatan. -UTUSAN ONLINE