BUTTERWORTH: Kampung Contoh yang terletak di Bagan Ajam di sini berpotensi dimajukan sebagai kawasan tarikan pelancong yang baharu khususnya dalam kawasan Seberang Perai.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Ekonomi Kreatif negeri, Yeoh Soon Hin berkata, ini kerana kampung yang terletak berhampiran pantai itu memiliki pelbagai daya tarikan menarik sama ada secara semula jadi atau sebaliknya.
“Saya melihat Kampung Contoh sebagai produk kampung pelancongan baharu di Pulau Pinang kerana pantainya yang cantik dan amat sesuai untuk seisi keluarga beriadah khususnya untuk menikmati pemandangan waktu senja yang indah.
“Saya yakin tempat ini bakal menjadi lokasi tumpuan orang ramai selepas ini terutamanya apabila gambar-gambar serta rakaman video di kampung ini muncul di laman Instagram, Tiktok dan sebagainya,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan progran Pengindahan dan Keceriaan Kampung Contoh di Bagan Ajam, di sini hari ini.
Ketika ini, terdapat sekurang-kurangnya lapan pondok rehat atau gazebo dibina di sepanjang pesisir pantai di kampung berkenaan yang terletak tidak jauh dari satu lagi kawasan riadah popular di Bagan Ajam iaitu Pantai Bersih.
Turut disediakan ialah papan tanda untuk bergambar serta buaian dan kerusi-kerusi rehat pelbagai warna untuk kemudahan pengunjung menikmati keindahan pantai di situ khususnya ketika matahari terbenam.
Dalam pada itu, Soon Hin turut menggalakkan penduduk setempat khususnya yang tinggal di kampung itu menjalankan perniagaan makanan atau cenderamata sebagai satu tarikan untuk pengunjung ke situ.
“Contohnya, ‘makcik-makcik’ di kampung ini bolehlah menjual kuih-muih tradisional, ‘kakak-kakak’ pula menjual laksa yang enak dan sebagainya.
“Pada masa sama, saya juga ingin menasihatkan para pengunjung yang datang ke sini supaya mematuhi SOP (prosedur operasi standard) yang ditetapkan selain menjaga kebersihan persekitaran,” katanya.
Tambahnya, program untuk mengindah serta menceriakan Kampung Contoh merupakan salah satu daripada inisiatif di bawah Pelan Induk Pelancongan Negeri Pulau Pinang tahun 2021-2030 ynag dilancarkan awal tahun ini.
Jelas beliau, inisiatif itu merupakan antara usaha untuk membangunkan lebih banyak kawasan pelancongan khususnya di kawasan Seberang Perai. – UTUSAN ONLINE