PETALING JAYA : Pertahanan Sarawak United FC, Stuart Wark idam beraksi di pentas separuh akhir Piala Malaysia buat kali pertama selepas pernah diketepikan pada musim 2017 susulan kecederaan ketika bersama Felda United.
Meskipun ketika itu Felda United mara ke separuh akhir, tetapi Wark tidak dapat diturunkan kerana berdepan kecederaan dan ini adalah masa yang tepat untuknya kembali merasai kenangan berharga di pentas berprestij bagi memastikan pasukan mara lebih jauh kali ini.
Bagi pemain berdarah kacukan Malaysia-Scotland ini, Sarawak United tidak perlu dilabel selaku pasukan ‘underdog‘ melihat kepada kelibat pemain-pemain senior yang berpengalaman untuk memberi tentangan seperti Uche Agba, Christie Jayaseelan dan ramai lagi untuk bangkit meraih kemenangan ke atas Terengganu FC dalam aksi suku akhir kedua, malam ini.
“Itu yang kami ingin kejarkan untuk merasai keputusan yang positif pada malam esok, dan ini adalah perlawanan Piala Malaysia di mana apa-apa sahaja boleh berlaku.
“Tidak terlambat lagi untuk kita terus berjuang mengharapkan sesuatu dapat diraih dan sememangnya ia bukanlah perlawanan yang mudah menentang Terengganu.
“Underdog itu hanyalah perkataan sahaja kerana bagi saya kerana Sarawak United mempunyai ramai pemain yang berpengalaman dan ia sebenarnya memang membantu pasukan untuk kami sampai ke tahap ini, jadi saya rasa tiada sebab untuk kita tidak boleh memberi tentangan sengit,”jelasnya.
Sarawak United tewas 1-2 kepada Terengganu FC dalam perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia pada Ahad lalu dan akan berdepan aksi kedua pada di Stadium UiTM, Shah Alam.
Dalam pada itu, Melaka United yang memiliki kelebihan satu gol bakal menanti kunjungan Sabah di Stadium Hang Jebat.