Kain sari dari India terhad - Utusan Malaysia

Kain sari dari India terhad

PAGIAH Laxmy Nakarogh bersama suaminya menunjukkan kain sari dan baju Punjabi yang dijual sempena Deepavali tahun ini di Teluk Intan. – UTUSAN/AIN SAFRE BIDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TELUK INTAN: Pilihan kain sari untuk dipakai pada sambutan Deepavali tahun ini terhad kerana peniaga tidak menerima stok baharu yang diimport dari India disebabkan wabak Co­vid-19 yang melanda dunia.

Ini menyebabkan peniaga di sini terpaksa menjual kain sari stok sedia ada, sehingga menjejaskan perniagaan mereka menjelang Deepavali.

Peniaga berkata, pelanggan mahukan kain sari rekaan corak baharu dan kurang berminat corak lama.

Namun peniaga tiada pilihan kerana import kain sari dari India untuk jualan Deepavali kali ini begitu terhad.

Seorang peniaga pakaian, Pagiah Laxmy Nakarogh, 43, yang menjalankan perniagaan itu tujuh tahun lalu berkata, kekurangan stok kain sari dari India menyebabkan pelanggan kurang pilihan.

Menurutnya, pakaian tradisional masyarakat India yang lain seperti pakaian Punjabi, lengha dan barang hiasan atau aksesori yang sebelum ini semuanya diimport dari India, juga tidak banyak stok.

“Kekurangan kain sari dan lain-lain aksesori mungkin di­sebabkan Covid-19 yang me­landa dunia, menyebabkan import kain sari kurang dari India.

“Mungkin juga sari yang siap sudah dijahit tidak dapat dihasilkan pada kuantiti di India seperti mana biasa disebabkan Covid-19, kemungkinan pengeluar di India juga menghadapi masalah untuk menyiapkan permintaan.

“Sari yang dijual ketika ini ialah sari stok lama dan menyebabkan ia kurang sambutan, pelanggan mahu sari corak baharu kerana biasanya di India, setiap kali Deepavali, mereka hasilkan corak baharu.

“Keadaan ini menjejaskan perniagaan kami. Kalau dahulu pelanggan bawa lima hingga tujuh orang anak untuk beli sari dan pakaian lain dan jualan kami mencecah RM6,000 atau RM8,000 sehari, tapi sekarang nak dapat RM1,000 pun susah,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di sini semalam.

Menurutnya, selain kurang stok baharu kain sari, pelanggan didapati kurang membuat persiapan Deepavali mungkin disebabkan mahu berjimat setelah terkesan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat Covid-19.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN