KUALA LUMPUR: Seorang jurutera sebuah syarikat perunding didenda RM40,000 selepas mengaku bersalah di Mahkamah Sesyen di sini terhadap pertuduhan menggunakan dokumen palsu berkaitan pembinaan sebuah banglo di Selayang Baru, tujuh tahun lalu.
Hakim Azura Alwi menjatuhi hukuman itu terhadap Toh Hwee Sheng, 46, dan memerintahkan lelaki itu dipenjara enam bulan jika gagal membayar denda tersebut. Denda itu dijelaskan.
Mengikut pertuduhan, Hwee Sheng didakwa secara curang menggunakan suatu dokumen palsu daripada syarikat Lieng Consult dan diberikan kepada seorang pemilik tanah berpangkat Datuk.
Buku ‘Structure Design Calculation’ bertarikh 2 Ogos 2014 mengandungi tandatangan palsu berhubung kiraan dan pelan struktur bagi cadangan membina sebuah banglo dua setengah tingkat di atas Lot PT 1, No 1, Jalan 5, Selayang Baru, Mukim Batu, Gombak.
Kesalahan itu dilakukan di antara 2 Ogos dan 12 Ogos 2014, di No. 2A & B, Jalan 53, Desa Jaya Kepong di sini.
Dia didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd. Aliff Shaharuzaman memohon hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh kerana amalan pemalsuan dan meniru tandatangan pemilik syarikat adalah kesalahan serius dan menjadi barah dalam masyarakat jika tidak ditangani.
Bagaimanapun tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hanya hukuman denda dikenakan dengan jumlah yang minimum kerana merupakan kesalahan pertama dan kesal serta insaf dengan perbuatan itu.
Menurut lelaki tersebut, dia tidak pernah memperdayakan pihak Majlis Perbandaran Selayang untuk mendapat faedah kewangan bagi pihak dirinya.
Jelasnya, selain penanggung tunggal keluarga, dia juga menjaga ibu yang kini berusia 70 tahun.