PUTRAJAYA: Malaysia merekodkan pertambahan tujuh kluster baharu selepas semalam mencatatkan hanya tiga kluster.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, pertambahan tujuh kluster itu menjadi keseluruhan kluster aktif sebanyak 233 kluster.
“Selain itu, 5,655 kluster yang tamat direkodkan manakala jumlah kluster terkumpul sejak berlakunya pandemik Covid-19 iaitu 5,888 kluster,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Noor Hisham berkata, Malaysia mencatatkan peningkatan kes positif Covid-19 iaitu 4,885 kes berbanding semalam, 4,854 kes sekali gus diatasi 5,628 kes sembuh.
Katanya, sebanyak 549 kes Unit Rawatan Rapi (ICU) dan 274 kes memerlukan Alat Bantuan Pernafasan (ABP).
“Daripada 4,885 kes harian yang dilaporkan pada hari ini, 91 kes (1.9 peratus) adalah kategori tiga, empat dan lima manakala bakinya, 4,794 kes (98.1 peratus) lagi adalah terdiri daripada kategori satu dan dua,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan kematian, Malaysia semalam, mencatatkan penurunan jumlah kematian yang dilaporkan iaitu 24 kes berbanding kelmarin, 41 kes. – UTUSAN ONLINE