Johor buka Pejabat JETCO di Singapura - Utusan Malaysia

Johor buka Pejabat JETCO di Singapura

HASNI MOHAMMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Kebudayaan Johor (JETCO) di Singapura bakal dibuka menjelang suku pertama tahun depan yang akan menjadi pemangkin dalam usaha menggiatkan aktiviti ekonomi antara Johor dan republik itu.

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, dalam perkembangan terkini proses terarah kepada perancangan aktiviti serta libat urus melibatkan pemegang taruh awam mahupun swasta.

“Kerajaan negeri percaya pembukaan pejabat berkenaan di Kota Singa bakal menjadi jambatan pengukuh bagi hubungan budaya dan pelancongan yang sudah sedia terjalin,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Dzulkefly Ahmad (PH-Kota Iskandar), Dr. Sulaiman Mohd. Nor (PH-Kemelah) dan Tan Chen Choon (PH-Jementah) pada Mesyuarat Kedua Penggal Persidangan Keempat Dewan Undangan Negeri Johor Ke-14.

Hasni yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut berkata, kerajaan negeri juga telah mula merangka Pelan Induk Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) di Segamat.

Katanya, kertas cadangan kemasukan daerah Segamat ke dalam ECER telah pun dibentangkan dan diluluskan dalam mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Oktober lalu.

“Kertas cadangan ini seterusnya akan diangkat untuk pembentangan di Parlimen bagi kelulusan pindaan Rang Undang-Undang Majlis Pembangunan Wilayah Pantai Timur. Antara pelan induk yang telah dirangka termasuk penyelarasan rancangan perniagaan tani dan agro pelancongan serta Program Modal Insan ECER.

“Sudah pasti kerajaan negeri dan ECER akan sentiasa bekerjasama untuk memastikan potensi Segamat digilap dan disokong, terutama untuk menjadikan daerah tersebut sebagai hab utama agro makanan Johor,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Hasni berkata, penyertaan Johor dalam Indonesia-Malaysia-Thailand Growth Triangle (IMT-GT) akan digunakan untuk mengaktifkan semula Segitiga Ekonomi Singapura-Johor-Kepulauan Riau (SIJO-Kepri).

Menurut beliau, kerjasama IMT-GT akan diaktifkan dengan penubuhan Joint Business Council yang dianggotai 11 negeri yang terlibat bersama-sama pihak SME dan pelabur tempatan untuk membincangkan kerjasama strategik dalam pelbagai peluang ekonomi yang boleh diceburi.

“Sehubungan itu, Kerajaan Persekutuan pula menyasarkan jumlah pelaburan yang dapat ditarik di bawah IMT-GT bernilai hampir RM1 bilion bermula 2022 dan 2023 dengan kerjasama sektor awam-swasta, rakan-rakan strategik lain serta institusi antarabangsa seperti Asian Development Bank,” katanya.

Sementara itu, Hasni memberitahu, projek pembangunan Zon Ekonomi Khas Pagoh dijangka siap dalam tempoh lima hingga tujuh tahun lagi yang mampu menyediakan sebanyak 21,200 peluang pekerjaan baharu kepada masyarakat setempat.

“Kerajaan Persekutuan menerusi Unit Perancang Ekonomi, Jabatan Perdana Menteri (EPU) telah melantik Johor Corporation (JCorp) untuk menjalankan Kajian Kemungkinan PSEZ dan Kajian Kemungkinan Pusat Perindustrian Gambir secara menyeluruh,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya