Jho Low 'orang di belakang tabir' 1MDB - Ismee - Utusan Malaysia

Jho Low ‘orang di belakang tabir’ 1MDB – Ismee

NAJIB Tun Razak hadir untuk perbicaraan berhubung kes pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. - UTUSAN/FARIZ RUSADIO
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho (Jho Low) disifatkan sebagai ‘orang di belakang tabir’ dalam pengurusan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berdasarkan hubungan baiknya dengan Datuk Seri Najib Tun Razak, demikian Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu.

Bekas Pengarah Bukan Eksekutif 1MDB, Tan Sri Ismee Ismail, 57, berkata, Jho Low kerap menghantar pesanan melalui e-mel kepada pengurusan syarikat itu yang disalinkan kepada lembaga pengarah termasuk beliau.

Ketika membacakan pernyataan saksi sepanjang 112 muka surat, Ismee berkata, beliau tidak mengetahui kapasiti Jho Low yang membolehkannya menghantar e-mel kepada pengurusan 1MDB, mahupun penglibatannya dalam syarikat itu.

Semalam, bekas Ketua Pegawai Kewangan (CFO) 1MDB, Azmi Tahir, 48, berkata, Jho Low turut menghantar e-mel kepadanya yang mengandungi strategi penjelasan yang perlu diberikan oleh bekas Perdana Menteri kepada firma audit, KPMG berhubung pelaburan 1MDB ke luar negara.

ISMEE Ismail hadir memberi keterangan pada perbicaraan kes Najib Tun Razak berhubung pertuduhan rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, hari ini. – UTUSAN/FARIZ RUSADIO

Ismee menyatakan, hubungan rapat di antara Jho Low dan bekas Perdana Menteri menyebabkan Lembaga Pengarah 1MDB tidak mengabaikan langsung emel yang dihantarnya walaupun beliau berpendirian, setiap perkara mesti melalui prosedur yang betul.

Saksi pendakwaan ke-13 itu menjelaskan, kebanyakan pesanan yang diterima itu dihantar ke alamat e-mel tidak rasmi beliau sedangkan Jho Low bukan penasihat rasmi 1MDB.

Bagaimanapun, Ismee memberitahu `tidak ambil kisah’ dengan tindakan Jho Low menghantar e-mel kerana beliau menganggap ahli perniagaan itu ‘bukan siapa-siapa` dalam pengurusan 1MDB.

Ketika menjelaskan hubungan rapat mereka, Ismee menyatakan, sewaktu beliau menyertai bekas Perdana Menteri dalam satu lawatan rasmi ke Abu Dhabi, ahli perniagaan itu turut berada di sana dan dilihat bergaul rapat dengan delegasi negara itu.

Jelasnya, ekoran hubungan baik dengan negara Asia Barat, Jho Low pernah membantu mendapatkan kuota tambahan jemaah haji Malaysia sebanyak 10,000 orang pada musim haji.

Ismee turut menjelaskan, Jho Low kerap kali menggunakan nama Najib dalam percakapan dan ketika mengutarakan cadangan dengan menggunakan panggilan ‘boss’ atau ‘PM’ ketika bermesyuarat.

Mahkamah sedang mendengar perbicaraan terhadap Najib, 68, yang menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 billion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram pada jumlah wang yang sama.

Dalam pernyataan saksinya, Ismee turut menjelaskan latar belakang penubuhan 1MDB yang bermula sebagai Lembaga Pelaburan Terengganu (TIA) iaitu sebuah tabung khazanah bertujuan membangunkan ekonomi negeri itu untuk jangka masa panjang.

Sewaktu penubuhan TIA pada 27 Februari 2009, beliau yang ketika itu adalah CEO Lembaga Tabung Haji bersama-sama beberapa individu lain termasuk Jho Low dilantik menganggotai Jawatankuasa Pemandu penubuhannya.

Ujarnya, beliau melihat bahawa Jho Low mempunyai hubungan rapat dengan Najib dan berperanan sebagai penasihatnya ketika terlibat dalam jawatan kuasa tersebut.

Beliau difahamkan konsep awal penubuhan TIA ialah membangunkan Pulau Bidong sebagai tarikan pelancongan secara usahasama dengan syarikat Mudabala di Abu Dhabi manakala pembiayaan dana diwujudkan melalui bon terbitan dengan jaminan kerajaan bernilai RM5 billion.

Bagaimanapun, pada 22 Mei 2009 beliau bersama beberapa pengurusan TIA telah dipanggil menghadap Sultan Terengganu yang kemudian mahukan agar bon terbitan Islamic Medium Term Note (IMTN) bagi pembiayaan Pulau Bidong ditangguhkan.

Pernyataan saksi itu turut menyatakan, Najib mengarahkan Lembaga Pengarah 1MDB menyegerakan keputusan untuk meluluskan cadangan usahasama dengan Petrosaudi International Limited (PSI).

Ismee berkata, perkara itu dimaklumkan dalam mesyuarat khas Lembaga Pengarah pada 26 September 2009 yang turut dihadiri oleh Jho Low.

Ujarnya, beliau tidak mengetahui tujuan kehadiran Jho Low pada mesyuarat itu namun diberi gambaran bahawa ahli perniagaan itu mempunyai hubungan yang baik dengan pihak Timur Tengah.

Ujarnya, beliau yakin usahasama itu adalah sahih melibatkan hubungan Malaysia-Arab Saudi berdasarkan pembentangan Kertas Projek Aria yang menunjukkan Najib mempunyai pengetahuan mengenai usahasama tersebut dan mahukan ia diluluskan segera oleh Lembaga Pengarah.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah bersambung esok.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN