JOHOR BAHRU: Pengendali Johor Darul Ta’zim (JDT), Benjamin Mora merasakan kelebihan berpihak kepada Harimau Selatan apabila bermain di laman sendiri menentang Kedah pada aksi suku akhir kedua Piala Malaysia, malam ini.
Mora berkata, situasi itu berlaku setelah pertemuan suku akhir pertama di Stadium Darul Aman, Alor Setar, Ahad lalu berakhir tanpa jaringan.
Pengendali kelahiran Mexico itu berkata, beliau enggan anak buahnya mengulangi kesilapan sama setelah gagal mencipta jaringan biarpun mempunyai peluang keemasan untuk berbuat demikian.
“Beraksi di gelanggang sendiri memberi kami kelebihan buat pasukan setelah tahap keyakinan pemain berada di tahap yang lebih tinggi.
“Sudah tentu, kami akan bermain bermati-matian untuk mencari gol awal. Saya akan pastikan skuad Harimau Selatan mempamer taring mereka menjadi lebih berbisa di hadapan gawang lawan,” katanya.
Dalam aksi pertama suku akhir yang lalu, Mora berkata, skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak bermain taktik ‘parking bus’ dengan meletakkan enam pemain pertahanan dan dibantu dua pemain tengah bagi membentuk benteng ampuh.
Jelasnya, keadaan itu menyebabkan JDT mengalami kesukaran untuk menembusi barisan pertahanan itu biarpun sudah mencuba pelbagai cara dan formasi.
“Kami cuba sedaya upaya untuk menjaringkan satu dan dua gol namun peluang yang ada gagal diterjemahkan manakala pasukan Kedah hanya menyerang sekali sekala sahaja.
“Ini adalah keputusan yang mereka cari dan ia adil buat kedua-dua pasukan. Namun begitu kami perlu berhati-hati bagi aksi kedua ini apabila mereka cuba mencari kelebihan jaringan di tempat lawan.
“Apabila itu berlaku, ia akan menjadi masalah besar buat kami untuk mendapatkan dua gol. Jadi, kami tidak boleh memberi ruang kepada mereka untuk berbuat demikian.
“Ia akan menjadi pertembungan yang menarik dan berpeluang bermain secara terbuka. Sekiranya Kedah mahu ke pusingan seterusnya, mereka perlu jaringkan gol di sini,” katanya.