GEORGETOWN: Penduduk tempatan dan para pengunjung yang melawat Pulau Pinang diingatkan sentiasa patuh dengan prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 walaupun negeri ini akan memasuki Fasa 4 Pelan Pemulihan Negara (PPN), Isnin ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, semua pihak tidak boleh lalai kerana perjuangan menentang wabak Covid-19 belum berakhir memandangkan virus tersebut masih lagi wujud dalam kalangan masyarakat.
“Kita belum menang walaupun kes dan kadar penggunaan katil di hospital termasuk di Unit Rawatan Rapi (ICU) menunjukkan penurunan.
“Saya minta kepada semua rakyat dan pengunjung yang datang ke Pulau Pinang supaya mematuhi SOP seperti menjaga penjarakan fizikal dan memakai pelitup muka,” katanya selepas melancarkan kempen Penang Goes Orange 2021 di Komtar, di sini hari ini. – UTUSAN ONLINE