KUALA LUMPUR: Semua pihak diseru bersama-sama menjayakan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan meletakkan integriti sebagai asas dan mengelakkan konflik kepentingan peribadi demi gagasan Keluarga Malaysia.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tanpa pemupukan integriti, pihak-pihak yang diamanahkan untuk melaksanakan sesuatu program atau projek tertentu di dalam RMK12 akan bertindak sambil lewa, mempunyai kepentingan peribadi, salah guna kuasa, penyelewengan, rasuah sekali gus menyebabkan ketirisan yang mendatangkan kerugian terhadap gagasan Keluarga Malaysia.
“RMK-12 yang digubal ketika negara menghadapi krisis kesihatan dan ekonomi yang terburuk mengambil kira pelbagai aspek demi kepentingan Keluarga Malaysia supaya membolehkan kita menikmati taraf hidup lebih baik. Insya-Allah, negara ini akan menjadi negara berpendapatan tinggi, mempunyai kualiti hidup lebih baik dan menjadi negara berteknologi tinggi pada tahun 2025.
“Secara asasnya, kesemua matlamat dan rancangan yang digariskan dalam RMK12 hanya boleh dicapai jika semua kita, Keluarga Malaysia, bersama-sama menjayakannya dengan menjadikan agenda integriti sebagai teras utama,” katanya dalam ucapan perasmian penutupan Konvensyen Integriti Nasional 2021 (KIN2021).
Ucapan itu dibacakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar di Menara Integriti di sini hari ini.
Dalam pada itu, mengulas mengenai Hari Integriti Nasional dan konvensyen berkenaan, katanya, pemilihan tema Integriti Pemangkin Keluarga Malaysia adalah bertepatan dengan konsep Keluarga Malaysia iaitu menekankan aspek asas keutuhan negara dan penerapan nilai-nilai murni ke arah pemantapan integriti seluruh Keluarga Malaysia.
“Kita semua sedia maklum bahawa apabila kita bercakap mengenai integriti, ia bukan hanya merujuk kepada rasuah semata-mata. Ia merujuk kepada pengamalan nilai-nilai murni secara menyeluruh dan berkesan. Hanya masyarakat yang mengamalkan nilai tersebut mampu mewujudkan masyarakat yang bebas rasuah daripada perbuatan yang melanggar etika,” katanya.
Selain itu, mengulas mengenai usaha menjadikan integriti sebagai agenda Keluarga Malaysia, katanya, kerajaan telah memperkenalkan Pelan Antirasuah Nasional (NACP) pada tahun 2019 bagi menjadikan negara ke arah bebas rasuah.
“Semua strategi dan inisiatif dalam NACP amatlah penting bagi negara untuk meningkat persepsi masyarakat luar negara terhadap kita. Namun, berdasarkan cabaran yang dihadapi negara, dalam kita membanteras rasuah, usaha penyemaian nilai-nilai murni dan integriti patut diperluas dan diperkukuh dengan menjadikan integriti sebagai agenda Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN ONLINE