SHAH ALAM: Jabatan Perhutanan Negeri Selangor (JPNS) mengesan satu aktiviti pendakian secara haram berskala besar dengan penahanan seramai 50 individu di Hutan Simpanan Kekal (HSK) Semangko, Hulu Selangor semalam.
Semua pendaki berusia 21 hingga 50 tahun itu ditahan selepas didapati melakukan kesalahan memasuki hutan berkenaan tanpa permit yang sah.
Pengarah JPNS, Datuk Ahmad Fadzil Abdul Majid berkata, perkara itu dikesan menerusi operasi khas penguatkuasaan dijalankan pihaknya bermula kira-kira pukul 8 pagi.
Katanya, operasi di laluan pendakian Gunung Gap HSK itu dijalankan hasil maklumat awam mengenai aktiviti pendakian besar-besaran yang dianjurkan individu persendirian tanpa pengetahuan pihaknya.
“Semakan dibuat ke atas semua pendaki berdasarkan data permit sah yang diperoleh daripada Pejabat Hutan Daerah Hulu Selangor (PHDHS).
“Hasil pemeriksaan membawa kepada penahanan 50 individu atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Ahmad Fadzil, operasi yang disertai sepasukan 19 pegawai PHDHS dan dua anggota polis dari Balai Polis Kuala Kubu Bharu itu berakhir kira-kira pukul 6 petang.
“Semua individu yang ditahan dibawa ke Balai Polis Kuala Kubu Bharu untuk tindakan lanjut.
“Mereka kemudian dibebaskan dengan jaminan polis,” ujarnya.
Tambah beliau, kesalahan memasuki HSK tanpa permit sah boleh dikenakan tindakan mengikut Akta Perhutanan Negara 1984 (Pindaan).
Sehubungan itu, beliau menasihatkan semua pendaki mematuhi undang-undang perhutanan dengan memohon permit sah untuk memasuki HSK di negeri ini.
Pada 7 November lalu, Utusan Malaysia melaporkan tindakan 16 pendaki memasuki hutan simpan tanpa permit sah di HSK Bukit Kutu, Hulu Selangor memakan diri apabila ditahan pihak berkuasa, kira-kira pukul 9 pagi.
Terdahulu, JPNS turut menahan seramai 56 individu yang mendaki Air Terjun Setinggi, Hutan Simpan Serendah tanpa kebenaran pada 25 September lalu.- UTUSAN ONLINE