LONDON: Bekas perenang Britain, Sharron Davies melabelkan Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa (IOC) sebagai pengecut selepas badan induk itu mahu terus memberikan sokongan kepada atlet transgender.
IOC kelmarin mengumumkan, pihaknya bakal memperkenalkan garis panduan baharu terhadap atlet transgender yang ingin menyertai Sukan Olimpik pada masa akan datang.
Jelas IOC, pihaknya tidak berhasrat untuk menghalang mereka daripada menyertai Olimpik, sebaliknya bakal mengeluarkan kriteria baharu untuk menetapkan kesesuaian atlet transgender.
Ia selepas atlet angkat berat New Zealand, Laurel Hubbard muncul peserta transgender pertama menyertai temasya berprestij tersebut, yang berlangsung di Tokyo, Ogos lalu.
“Lebih dua dekad IOC mengabaikan situasi yang lebih penting, malah merendahkan martabat atlet wanita. Kami terpaksa hadir ke sini semula hanya kerana tindakan pengecut anda (IOC).
“Bagaimana hormon testosteron boleh berada dalam senarai larangan dadah (bagi wanita) sedangkan lelaki (semula jadi) akan menghasilkannya.
“Tetapi mereka akan selamat jika menyertai kategori wanita. Lelaki mendapat keadilan, namun wanita tidak pula?” kata Davies.
Di Tokyo, atlet transgender dibenarkan bertanding dengan syarat tahap testosteron mereka berada di bawah had tertentu sekurang-kurangnya 12 bulan sebelum bertanding.– AGENSI