Insiden SUKE: Syarikat pembinaan didenda RM45,000 - Utusan Malaysia

Insiden SUKE: Syarikat pembinaan didenda RM45,000

amang seksual
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR:  Sebuah syarikat pembinaan didenda RM45,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana gagal memastikan aspek keselamatan sehingga tiga pekerjanya maut dalam insiden di Tapak Pembinaan Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE), Mac lalu.

Hakim Emelia Kaswati Mohamad Khalid menjatuhkan hukuman terhadap syarikat Zhongsi International Sdn. Bhd. selepas syarikat tersebut yang diwakili Pengurus Sumber Manusianya, Sim Li En, selaku Orang Kena Saman (OKS) mengaku bersalah atas pertuduhan yang dikemukakan.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu sebagai majikan didakwa telah gagal untuk memastikan setakat yang praktik, keselamatan untuk memastikan pengendalian launching gantry (jentera kren) selamat semasa kerja-kerja penyenggaraan sehingga menyebabkan kemalangan kepada tiga pekerjanya iaitu Wu Tongzheng, Ding Kunfu dan Jiang Jinbao yang merupakan warga China.

Kesalahan itu dilakukan di 3PT39 sehingga 3PT41, Pakej CA3, Projek Penswastaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang Elevated Expressway (SUKE) CH4200 sehingga CH7800 Jalan Alam Damai, di sini pukul 8.45 pagi pada 22 Mac lalu.

Berikutan itu pertuduhan dikemukakan mengikut  Seksyen 15(1) Akta keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 19 Akta yang sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum 20 tahun atau kedua-duanya.

Terdahulu, OKS yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda ringan atas alasan syarikatnya telah menjalankan langkah-langkah untuk mengelakkan kemalangan berlaku di tempat kerja selain akan memastikan kesalahan tersebut tidak berulang.

Pegawai Pendakwa dari Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Abdul Rahim Sabri memohon mahkamah mengenakan hukuman maksimum terhadap syarikat tersebut.

“Ini kes tersebut merupakan kemalangan berprofil tinggi dan  mendapat liputan media selain telah melibatkan kehilangan tiga nyawa,” katanya.

Pada 22 Mac lalu, media melaporkan tentang kejadian komponen kren jatuh di tapak pembinaan Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) di Jalan Alam Damai, Cheras sehingga menyebabkan tiga warga China maut manakala seorang pengguna jalan raya cedera selepas kereta dipandunya dihempap komponen kren itu.

Pada 11 Oktober lalu, dua syarikat pembinaan yang telibat dengan projek Lebuh Raya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Klang (SUKE) dikenakan penalti berjumlah RM300,000 kerana gagal memastikan keselamatan di tapak pembinaan yang mengakibatkan kemalangan maut pada 22 Mac lalu.- UTUSAN ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN