Inovasi benih padi IS21 guna aruhan sinar gama - Utusan Malaysia

Inovasi benih padi IS21 guna aruhan sinar gama

DR. ADHAM Baba (tengah) menunjukkan dulang mengandungi padi IS21 kepada Ismail Sabri Yaakob sambil disaksikan Noh Omar (dari kiri), Amirudin Shari dan Ronald Kiandee dalam Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Benih Padi di Sekinchan, Sabak Bernam, Selangor, hari ini.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEKINCHAN: Benih padi jenis IS21 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini adalah hasil inovasi menggunakan teknologi nuklear bagi menambah baik baka biak padi.

Penghasilan benih padi IS21 itu menggunakan kaedah mutasi aruhan sinaran gama ke atas tanaman tanaman padi sebagai alternatif kepada prosedur pembaikbakaan konvensional.

Penghasilan benih berkenaan dikatakan sebagai pencapaian terbaik kajian biak baka mutasi padi di negara ini dengan bercirikan agronomi diperlukan seperti hasil tuaian tinggi sehingga 35 peratus, daya tahan terhadap penyakit serta mampu bertahan dalam cuaca kemarau dan banjir.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, penyelidikan terhadap benih padi itu bermula pada 2005 menerusi kerjasama institusi pendidikan seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Katanya, selain institusi pendidikan ia turut melibatkan Institut Pembangunan dan Penyelidikan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Jabatan Pertanian.

“Ujian distinctness, uniformity dan stability bagi varieti ini dijalankan oleh Jabatan Pertanian pada 2015 yang membawa kepada pensijilan Plant Variety Protection.

“Kemudian pada 2016, Agensi Nuklear Malaysia memperoleh dana di bawah program Malaysia Social Innovation atau lebih dikenali dengan MySI yang mana ujian multilokasi (Multi Location Trial) dan ujian penentusahan tempatan (Local Verification Trial) dijalankan bersama komuniti pesawah padi di Pendang, Kedah dan di beberapa lagi lokasi jelapang padi utama di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Pelancaran Benih Padi IS21 yang turut dihadiri Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr. Ronald Kiandee; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Tan Sri Noh Omar dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Loji Pengeluaran Benih Asas dan Tapak Penyelidikan Benih Padi, di sini, hari ini.

Dr. Adham berkata, inovasi benih padi itu diyakini berpotensi meningkatkan pendapatan dan sosioekonomi para pesawah di seluruh negara.

Terdahulu, Ismail Sabri melancarkan benih padi IS21 yang diyakini mampu meningkatkan hasil tuaian sehingga 67 peratus atau sembilan tan metrik pengeluaran sehektar mengikut kawasan penanaman.

Selain itu kos penanaman seperti penggunaan baja dan racun perosak juga dapat dikurangkan sehingga 20 peratus.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, benih padi yang dihasilkan melalui kaedah inovasi nuklear tersebut mempunyai ketahanan terhadap perubahan cuaca mendadak, tekanan biotik dan abiotik serta pengeluaran hasil cepat berkualiti dari segi zat dan nutrisi. 

Justeru, sehingga kini terdapat lebih 15,000 pesawah padi di seluruh negara menerima padi IS21 yang boleh membantu mereka meningkatkan produktiviti lebih tinggi berbanding purata kebangsaan.

“Usaha membangunkan semula benih padi menggunakan teknologi baharu oleh Nuklear Malaysia mula membuka peluang perusahaan dan pekerjaan amat memberangsangkan kepada penduduk Sekinchan dan sekitarnya.

“Ini adalah contoh hasil penyelidikan dari makmal ke pasaran yang dapat memacu pertumbuhan ekonomi, meningkatkan kesejahteraan rakyat serta mengutamakan sekuriti dan nutrisi makanan,” jelasnya. – UTUSAN ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN